BEIJING, 13 DIS – Sesi persekolahan bagi sekolah rendah, sekolah menengah dan tadika di Beijing ditangguhkan hari ini susulan ramalan salji tebal bakal melanda.
Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Beijing, memutuskan untuk melaksanakan sesi pembelajaran di rumah buat sementara waktu bermula hari ini selepas pihak berkuasa meteorologi bandar itu mengeluarkan amaran jingga berkaitan ribut salji kelmarin, lapor Xinhua. Selain itu, pengumuman mengenai penyambungan kelas secara bersemuka akan dimaklumkan kemudian. Salji tebal pusingan pertama bagi musim sejuk kali ini telah melanda Beijing pada Ahad hingga Isnin.
Menurut Balai Cerap Meteorologi Beijing, salji tebal dijangka melanda bandar berkenaan pada pagi hari ini hingga pagi Jumaat.
Sementara itu, suhu minimum pada malam Sabtu dijangka mencecah -15 darjah Celsius. – Bernama


