NEW YORK, 26 DIS – Ribut musim sejuk ekstrem yang menjejaskan cuti Krismas jutaan rakyat Amerika akan lenyap secara perlahan, menurut Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) hari ini, selepas salji yang lebat dan kesejukan melampau menyebabkan gangguan bekalan elektrik, perjalanan tertangguh dan mengorbankan kira-kira 32 orang di seluruh bahagian timur negara itu.
“Sebahagian besar kawasan timur AS akan kekal dalam keadaan beku sehingga hari ini sebelum trend menjadi sederhana bermula esok,” kata NWS dalam nasihat terbaharunya.
Di Buffalo, barat New York, ribut salji menyebabkan bandar itu terasing, dengan perkhidmatan kecemasan tidak dapat mencapai ke kawasan yang paling terjejas.
“Ia (seperti) pergi ke zon perang dengan kenderaan terdampar di tepi jalan sangat mengejutkan,” kata Gabenor New York Kathy Hochul, seorang penduduk asli Buffalo, tempat salji setinggi lapan kaki dan menjejaskan bekalan elektrik hingga boleh mengancam nyawa.
Hochul memberitahu pemberita petang semalam bahawa penduduk masih dalam ‘situasi yang mengancam nyawa’ dan memberi amaran kepada sesiapa di kawasan itu untuk kekal di dalam rumah.
Lebih 200,000 orang di beberapa negeri timur tanpa bekalan elektrik pada pagi Krismas dan ramai lagi yang membatalkan rancangan perjalanan percutian mereka, walaupun ribut selama lima hari memaparkan keadaan salji dan angin kencang mulai reda.
Cuaca ekstrem menyebabkan suhu sejuk di kesemua 48 negeri AS di bawah paras beku pada hujung minggu dengan para pengembara yang bercuti terkandas, selain ribuan penerbangan dibatalkan dan memerangkap penduduk di rumah yang dipenuhi ais dan salji.
Sebanyak 32 kematian berkaitan cuaca telah disahkan di sembilan negeri, termasuk kira-kira 13 di Daerah Erie tempat Buffalo terletak, dengan para pegawai memberi amaran jumlah korban itu pasti meningkat.
Lapangan terbang antarabangsa di bandar itu kekal ditutup sehingga esok dan larangan memandu terus berkuat kuasa untuk seluruh Daerah Erie. – AFP



