WASHINGTON, 13 NOV – Fenomena cahaya aurora yang luar biasa di latitud rendah dijangka dapat disaksikan sekali lagi pada malam kelmarin hingga hari ini, hasil daripada aktiviti suria yang kuat yang turut membawa risiko kepada rangkaian komunikasi.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), kejadian jarang berlaku ini bermula awal minggu ini dan dijangka berterusan hingga hari ini.
Fenomena tersebut disebabkan oleh letusan besar zarah suria dari matahari yang dikenali sebagai letusan jisim korona (CME).
Apabila zarah itu tiba di atmosfera bumi, ia mencetuskan ribut geomagnetik yang menghasilkan cahaya aurora yang menakjubkan.
NOAA melaporkan ribut tahap empat daripada skala lima berlaku pada Selasa, dan satu lagi CME dijangka berlaku hari ini, berkemungkinan menyebabkan kejadian berulang.
Pada malam Selasa, langit Mexico turut diterangi dengan sinar merah jambu dan hijau lembut, mengagumkan ramai pemerhati yang biasanya perlu ke kawasan berhampiran kutub bumi untuk menyaksikan fenomena tersebut.
Tahun lalu, ribut geomagnet tahap lima, yang pertama dalam tempoh dua dekad turut menghasilkan pemandangan menakjubkan Aurora Utara dan Selatan.
Namun, ribut suria yang kuat bukan sekadar menghasilkan cahaya indah. Ia juga boleh mengganggu sistem komunikasi, menyebabkan kerosakan satelit dan beban berlebihan pada grid tenaga elektrik.
Disebabkan risiko daripada kejadian minggu ini, syarikat angkasa Blue Origin milik pengasas Amazon, Jeff Bezos, terpaksa menangguhkan sekali lagi pelancaran roket New Glenn kelmarin. – AFP


