WASHINGTON, 12 MEI – Ribut suria paling kuat dalam tempoh lebih dua dekad melanda Bumi Jumaat lalu, mencetuskan pertunjukan cahaya cakerawala yang menakjubkan di langit dari Tasmania ke Britain dan mengancam kemungkinan gangguan kepada satelit dan grid tenaga kerana ia berterusan sehingga hujung minggu.
Yang pertama daripada beberapa lonjakan jisim korona (CME) pengusiran plasma dan medan magnet dari Matahari berlaku sejurus selepas 1600 GMT, menurut Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas Pentadbiran Lautan dan Atmosfera (NOAA).
Ia kemudiannya dinaik taraf kepada ribut geomagnet ekstrem yang pertama sejak Ribut Halloween pada Oktober 2003 menyebabkan bekalan elektrik di Sweden putus dan merosakkan infrastruktur tenaga di Afrika Selatan. Lebih banyak CME dijangka melanda planet ini dalam beberapa hari akan datang.
Media sosial dibanjiri dengan hantaran gambar aurora dari Eropah utara dan Australasia.
“Kami baru sahaja membangunkan anak-anak untuk menonton aurora borealis di halaman belakang! Jelas kelihatan dengan mata kasar,” kata Iain Mansfield, pemikir di Hertford, Britain kepada AFP.
“Fenomena langit luar biasa di Tasmania pada jam 4 pagi tadi. Saya akan pergi ke sana hari ini dan saya tidak boleh melepaskan peluang ini,” kata jurugambar, Sean O Riordan dalam satu pos di X.
Pihak berkuasa telah memaklumkan pengendali satelit, syarikat penerbangan dan grid kuasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan gangguan yang disebabkan oleh perubahan pada medan magnet Bumi. – AFP