TOKYO, 1 Ogos – Ribut teruk telah memaksa seorang perenang jarak jauh berbangsa Perancis-Amerika menangguhkan percubaannya untuk menjadi orang pertama yang berenang menyeberangi Lautan Pasifik.
Ben Lecomte dan kapal layar yang mengiringinya telah kembali ke pelabuhan di Yokohoma, Jepun untuk menanti cuaca baik, menurut pasukannya hari ini dalam satu tidak balas daripada soalan melalui e-mel.
Perenang berusia 51 tahun itu telah menamatkan kira-kira 800 kilometer dari 8,000 kilometer perjalanan ke San Francisco sejak meninggalkan Choshi, bandar pantai Jepun, hampir dua bulan lalu. Perjalanan itu dijangkakan mengambil masa enam hingga lapan bulan, dengan Lecomte berenang kira-kira lapan jam sehari.
“Cuaca, tidak boleh saya mengubahnya,” dia dipetik sebagai berkata di atas talian oleh Seeker, sebuah saluran media digital di San Francisco yang mendokumenkan renangan itu.
“Saya tidak akan tertekan. Saya tidak akan memikirkannya. Begitulah keadaannya, dan itu sahaja.”

Renangan ditangguhkan Jumaat lalu. Apabila cuaca tenang, pasukannya akan merancang untuk kembali di tempat terakhir Lecomte, supaya dia boleh menyambung semula renangannya.
Musim taufan sedang melanda di Pasifik dan tiga ribut utama telah dihadapi oleh kapal layar berukuran 20 meter itu. Salah satunya adalah Ribut Tropika Jongdari yang melanda Jepun hujung minggu lalu.
Persinggahan di Yokohama akan juga membolehkan pasukan itu membaiki motor elektrik kapal layar yang mengiringi Lecomte ketika dia berenang.
Lecomte, yang dilahirkan di Perancis dan tinggal di Austin, Texas, telah dikejutkan dengan jumlah plastik dan sampah lain yang ditemuinya, menurut berita yang dikeluarkan Seeker. Salah satu matlamat renangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan persekitaran lautan. – AFP