Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut terkuat sejak 1949 landa Shanghai

    SHANGHAI, 16 SEPT – Puluhan juta orang di Shanghai dan di sepanjang pantai timur China yang padat penduduk berlindung di dalam rumah hari ini ketika taufan paling kuat sejak tahun 1949 melanda, menumbangkan pokok dan menjejaskan pengangkutan di seluruh rantau itu.

    Taufan Bebinca – ribut paling ganas melanda bandar mega itu sejak Taufan Gloria melanda 75 tahun lalu – mendarat awal pagi ini di kawasan pantai timur, dengan kelajuan angin sekitar 150 kilometer sejam, kata media kerajaan.

    Banyak perniagaan telah ditutup sempena cuti umum Festival Pertengahan Musim Luruh, dan 25 juta penduduk di bandar itu telah dinasihatkan untuk tidak meninggalkan rumah mereka.

    Perkhidmatan berita perbandaran berkata taufan itu telah menyebabkan ‘kerosakan besar di seluruh bandar’, menumbangkan lebih 1,800 pokok dan menyebabkan 30,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.

    Ia berkata 414,000 orang di seluruh bandar telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat, dan puluhan ribu pekerja kecemasan bersiap sedia untuk dikerahkan apabila perlu.

    Sebatang pokok yang tumbang menghalang sepenuhnya satu jalan di pusat bandar, menurut seorang wartawan AFP.

    Di tempat lain, pekerja kecemasan berbaju jumpsuit jingga bekerja untuk membersihkan serpihan yang jatuh dari jalan raya beli-belah yang basah yang menempatkan beberapa jenama antarabangsa.

    Xiong Zhuowu, seorang doktor dan penduduk daerah Baoshan utara, memuat naik video papan tanda ejen hartanah yang diterbangkan ke atas bumbung di kawasan perumahannya.

    “Saya berasa agak gementar hari ini, saya sentiasa memeriksa keadaan di luar tingkap,” katanya. – AFP

    Seorang lelaki berjalan melintasi kenderaan dan pokok yang tumbang di Shanghai, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda