Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Trami ragut 76 nyawa di Filipina

    MANILA, 25 OKT – Pekerja penyelamat Filipina meredah air banjir hari ini untuk menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka ketika Ribut Tropika Trami bergerak ke laut selepas membunuh sekurang-kurangnya 76 orang.

    Puluhan ribu masih kehilangan tempat tinggal selepas melarikan diri dari banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat dalam tempoh dua hari sahaja di beberapa kawasan.

    “Ramai masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka dan meminta bantuan,” Andre Dizon, pengarah polis bagi wilayah Bicol yang terjejas teruk, memberitahu AFP. “Kami berharap banjir akan surut hari ini memandangkan hujan telah berhenti.”

    Akses ke kawasan terjejas kekal menjadi isu utama bagi penyelamat pada hari ini, terutamanya di Bicol, kata Presiden Ferdinand Marcos semasa taklimat akhbar.

    “Ada tanah runtuh di kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku tanah runtuh jadi saya rasa tanahnya betul-betul tepu, air tidak dapat mengalir ke tempat lain,” katanya.

    Bandar Naga dan Legazpi melaporkan “ramai mangsa terkorban tetapi kami masih belum dapat masuk,” tambah Marcos.

    Ketika Trami bergerak meninggalkan Filipina pada awal pagi, menuju ke barat melalui Laut China Selatan, angka kematian ribut meningkat apabila laporan baharu mengenai mangsa diterima.

    Di wilayah Batangas di selatan ibu negara Manila, kakitangan polis sarjan Nelson Cabuso memberitahu AFP enam mayat tidak dikenali telah ditemui di kampung Sampaloc.

    Lima orang lagi terbunuh dalam banjir kilat di perkampungan pantai Subic Ilaya, kata koperal polis Alvin de Leon, membawa jumlah korban kepada 76, menurut pengiraan AFP daripada polis dan pegawai bencana.

    Pejabat kerajaan dan sekolah di seluruh pulau utama Luzon kekal ditutup hari ini, dan amaran gelombang ribut masih berkuat kuasa di sepanjang pantai barat, dengan potensi ombak setinggi dua meter. – AFP

    Pemandangan udara menunjukkan kawasan ditenggelami air akibat Ribut Trami di Filipina. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda