Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Tropika Bualoi dijangka pengaruhi cuaca tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Negara Brunei Darussalam masih berada dalam monsun barat daya yang lazimnya berterusan sehingga penghujung September tahun ini.

    Pada jam 11 pagi waktu tempatan hari ini, Taufan Ragasa dikesan kira-kira 1,871 kilometer dari Negara Brunei Darussalam, manakala pada masa yang sama Ribut Tropika Bualoi dikesan pada jarak sekitar 1,800 kilometer. Ribut Tropika Bualoi diramalkan bergerak ke arah barat laut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Taufan Ragasa dijangka tidak lagi mempengaruhi keadaan cuaca negara. Namun begitu, Ribut Tropika Bualoi dijangka memberi kesan tidak langsung dengan keadaan cuaca aktif bermula 26 hingga 27 September.

    Keadaan cuaca tersebut akan melibatkan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir berserta angin kencang yang dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan di negara ini, dengan kelajuan angin sehingga 55 kilometer sejam semasa atau berhampiran hujan lebat.

    Sementara itu, di perairan Brunei, keadaan laut dijangka berada pada paras sedikit ke sederhana dengan ketinggian ombak antara 0.6 hingga 1.2 meter.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan cuaca aktif. Antara risiko yang boleh berlaku ialah pokok tumbang, atap terbang, banjir kilat di kawasan rendah dan mudah banjir, serta kawasan berhampiran tebing sungai terutama ketika hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang.

    Orang ramai, termasuk para pemandu jalan raya dan pelaut, dinasihatkan agar sentiasa peka dengan ramalan, nasihat serta amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD, selain membuat perancangan sewajarnya demi keselamatan.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan mengeluarkan nasihat serta amaran jika diperlukan. Maklumat terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX yang membolehkan orang ramai menerima nasihat dan amaran cuaca sebaik sahaja ia dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca juga boleh didapati dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn, atau mengikuti laman media sosial rasmi Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) serta saluran Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda