MANILA, 19 OKT – Ribut Tropika Fengshen bergerak ke laut hari ini selepas meragut nyawa lima sekeluarga di pulau utama Luzon, Filipina, menurut pegawai tempatan dan peramal cuaca negara itu.
Keluarga terbabit, termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan 11 tahun, maut semasa tidur apabila sebatang pokok palma besar tumbang dan menghempap rumah mereka berhampiran Pitogo, kira-kira 153 kilometer tenggara ibu negara Manila.
“Seluruh keluarga sedang tidur di sebuah rumah yang diperbuat daripada bahan ringan,” kata Gabenor Wilayah Quezon, Angelina Tan, kepada stesen radio Manila DZMM, sambil menambah seorang lagi ahli keluarga terselamat.
Pegawai polis Pitogo, Sonny Ombajino mengesahkan kematian itu, yang berlaku ketika ribut melanda bahagian selatan Luzon pada waktu malam kelmarin.
Sekurang-kurangnya 47,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara yang ditetapkan kerajaan di seluruh selatan dan tenggara Luzon yang bermula kelmarin, menurut pegawai agensi bencana tempatan, berikutan amaran kemungkinan berlaku banjir pesisir dan tanah runtuh.

Hujan lebat terus membadai pulau itu hari ini ketika Fengshen bergerak menuju ke Laut China Selatan.
Perkhidmatan kaji cuaca negara itu menjangkakan ribut tersebut akan bergerak ke arah barat laut sebelum berpusing ke Vietnam, dengan kelajuan angin kencang mencapai sehingga 90 kilometer sejam.
Filipina secara purata dilanda sekitar 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang sering menyerang kawasan di mana jutaan orang hidup dalam kemiskinan.
Taufan Bualoi sebelum ini mengorbankan 37 orang serta memaksa lebih 400,000 penduduk berpindah dari kediaman masing-masing di bahagian utara negara itu.
Saintis memberi amaran taufan tropika kini menjadi lebih kuat akibat pemanasan global yang didorong oleh aktiviti manusia.
Ribut Fengshen berlaku ketika negara itu masih bergelut dengan siri gempa bumi besar yang meragut sekurang-kurangnya 87 nyawa dalam tempoh tiga minggu lepas. – AFP

