HYDERABAD, 3 DIS – Pihak berkuasa India hari ini mengeluarkan satu amaran, menutup sekolah dan membatalkan perjalanan kereta api di sebahagian negara ketika pasukan penyelamat bersedia menghadapi ribut tropika yang menghampiri Teluk Bengal.
Ribut dijangka melanda pesisir pantai negeri selatan AndhraPradesh esok, kemudian Odisha dan negeri-negeri Bengal Barat pada Ahad, membawa angin berkelajuan sehingga 100 kilometer sejam (kmsj), menurut ketua Jabatan Meteorologi, Mrutyunjay Mohapatra.
Pesuruhjaya bantuan negeri Andhra Pradesh, Kanna Babu mengatakan kapal-kapal nelayan di kedua-dua buah negeri telah diarahkan pulang ke pelabuhan dan beribu-ribu pasukan menyelamat dan bantuan dikerahkan bagi operasi pemulihan.
Mohapatra turut menekankan bahawa platform penggerudian minyak pesisir pantai di kawasan terbabit juga dinasihatkan menggantung aktiviti pada Sabtu dan Ahad.
Ribut dijangka mencetuskan hujan lebat sehingga sangat lebat ke sebahagian Andhra Pradesh. Pada hari ini, ia berada sekitar 650km dari Visakhapatnam, sebuah bandar pelabuhan utama. – AP