TOKYO, 12 OGOS – Ribut Tropika bernama Maria yang mendarat di utara Jepun hari ini dan menurunkan hujan yang terkumpul lebih daripada dua bulan dalam tempoh 24 jam sebelum ini dan memaksa berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan.
Maria, yang dikategorikan sebagai ‘ribut tropika yang dahsyat’, satu tahap di bawah taufan telah mendarat sekitar jam 8:30 pagi berhampiran bandar Ofunato di wilayah Iwate, kata Agensi Meteorologi Jepun. Bagaimanapun tiada laporan kecederaan, menurut kerajaan Wilayah Iwate.
Majlis perbandaran di wilayah itu mengeluarkan pelbagai nasihat dan amaran pemindahan kepada kira-kira 315,000 penduduk semalaman dan kira-kira 2,000 bermalam di pusat perlindungan tempatan.
Ribut itu menurunkan 362 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam hingga pagi hari ini di bandar Kuji, jumlah tertinggi sejak agensi itu mula menyimpan rekod pada 1978.
Purata taburan hujan bulanan di kawasan itu untuk Ogos ialah 177.9 milimeter, rekod menunjukkan.
“Penduduk di wilayah yang terjejas dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tanah runtuh, sungai yang bergelombang dan membanjiri serta banjir di kawasan rendah, serta tiupan angin ganas dan ombak tinggi,” kata agensi cuaca itu.
Maria membawa angin ribut sehingga 126 km/j dan bergerak ke barat laut dengan kelajuan 15 km/j, kata agensi itu.
Ia telah memaksa pembatalan penerbangan ke wilayah utara. Japan Airlines berkata ia membatalkan 78 penerbangan domestik menjejaskan 7,039 penumpang. Saingannya ANA membatalkan lapan penerbangan, kata penyiar nasional NHK.
Beberapa perkhidmatan kereta api serantau menggantung perkhidmatan mereka, bagaimanapun kereta api peluru meneruskan operasi biasa.
Ribut itu dijangka merentasi Jepun dan menuju ke Laut Jepun menjelang petang Isnin. – AFP


