BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Pada jam 11 pagi ini, Ribut Tropika WUTIP telah dikesan pada koordinat 16.6°N 113.2°E di kawasan Laut China Selatan sekitar 1,360km jauh dari Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), ribut tropika itu diramalkan bergerak ke barat laut dan menjauhi negara.
Bagaimanapun, WUTIP dijangka secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca negara dengan keadaan sedikit berangin pada beberapa hari akan datang, dengan hujan disertai angin kencang atau hujan berpetir berpotensi berlaku terutamanya di kawasan laut dan pesisiran negara.
Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya diparas rendah hingga sederhana dengan ketinggian ombak antara 0.8-1.8m.
Keadaan cuaca negara ketika ini berada di dalam monsun barat daya yang lazimnya akan berterusan sehingga bulan September ini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Keadaan laut berbahaya bagi operasi bot-bot kecil semasa keadaan hujan berangin kencang.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau boleh hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau layari Iaman sesawang www.met.gov.bn atau Iaman Facebook (@bruneiweather), lnstagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).
BDMD juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.
