Friday, July 25, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Wipha: Ratusan terputus hubungan di Vietnam

    HANOI, 23 JULAI – Banjir akibat Ribut Tropika Wipha menyebabkan ratusan keluarga terputus hubungan di kampung di tengah Vietnam hari ini, kata pihak berkuasa.

    Kira-kira 12,500 orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi pada hujung minggu, sebelum ribut melanda pada Selasa yang membawa hujan lebat hingga mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat.

    Pihak berkuasa di wilayah Nghe An tengah berkata loji kuasa hidro Ban Ve, yang terbesar di kawasan itu terpaksa mengeluarkan air dari takungannya.

    Beberapa komuniti terjejas oleh air yang naik hingga ke bumbung pada malam Selasa, memaksa penduduk berpindah ke tempat yang lebih tinggi.

    “Paras air tahun ini jauh lebih tinggi dan lebih dahsyat daripada apa yang kami anggap sebagai banjir bersejarah pada 1988,” kata penduduk Nguyen Thai Hung kepada laman berita Dan Tri.

    “Kami benar-benar tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana air telah mencecah bumbung rumah kami,” kata Hung.

    Lebih 200 keluarga di daerah Yen Hoa terputus hubungan selepas laluan utama ke kampung itu rosak akibat banjir kilat, kata pihak berkuasa.

    Wipha membunuh sekurang-kurangnya enam orang pada Jumaat di Filipina, di mana puluhan ribu telah dipaksa berpindah dari rumah mereka dan sebahagian daripada ibu kota Manila kekal banjir semalam. – AFP

    Pemandangan udara menunjukkan kampung dibanjiri di wilayah Nghe An di utara Vietnam kelmarin susulan hujan lebat akibat Ribut Wipha. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda