Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Pemain import baharu Pasukan DPMM FC, Blake Ricciuto menyatakan rasa teruja dengan kualiti yang ada pada pemain-pemain tempatan menjelang sepak mula musim Liga Perdana Singapura menentang Home United di Stadium Bishan, Singapura Ahad ini.
Pemain kelahiran Sydney, Australia itu menjalani persiapan terakhir bersama rakan sepasukannya pada latihan pra musim ini di bawah bimbingan ketua jurulatih Adrian Pennock dan tidak sabar untuk membuktikan dirinya di liga teratas Singapura itu.
“Saya sangat teruja dengan para pemain tempatan. Mereka mempunyai kualiti yang bagus dan sangat membantu ketika saya mula-mula tiba di kelab ini,” katanya dalam satu temu bual selepas menjalani sesi latihan di Stadium Mini Jerudong baru-baru ini.
Posisi Ricciuto adalah sebagai pemain tengah dan berharap dapat memberikan sumbangan kepada pasukan dengan kualiti yang ada padanya.
“Saya suka merebut bola di bahagian tengah padang dan mahu menyumbangkan banyak tenaga untuk pasukan ini.”

Ditanya mengenai peralihan ke bola sepak Asia Tenggara, Ricciuto berkata dia menikmati prospek persekitaran baharu yang tidak dikenalinya ini.
“Pertama, ia satu perubahan besar bagi saya untuk datang ke Asia Tenggara. Saya tidak begitu mengetahui mengenai pemain dan pasukan ini. Sebelum datang ke rantau ini saya ada memerhatikan pasukan dan beberapa orang pemain hebat dalam liga Singapura.”
Bekas pemain Rockdale City Suns itu juga dimaklumkan mengenai kekuatan juara bertahan liga ketika ini, Albirex Niigata (S) dan beliau teruja untuk memberikan saingan bersama kelab baharunya.
Pemain tengah itu juga berkongsi azam rakan sepasukannya, Charlie Clough iaitu memenangi gelaran liga dan menamatkan penguasaan Albirex Niigata (S).
“Saya mempunyai azam untuk memenangi liga bersama DPMM FC. Saya sudah membuat beberapa kajian dan menyaksikan beberapa perlawanan liga Singapura. Saya menjangkakan ia satu liga yang kuat.”
Ricciuto juga menaruh kepercayaan bahawa rakan sepasukan baharunya mempunyai keupayaan untuk merebut gelaran dan berharap mengulangi kejayaan mereka sebelum ini.
“Saya boleh katakan bahawa mentaliti para pemain yang ada di sini adalah untuk menang. Kami tidak menyasarkan tempat kedua atau ketiga kerana kami menyasarkan kejuaraan (Liga Perdana Singapura) di akhir musim,” tegasnya.