LONDON, 6 JULAI – Penyerang baharu Tottenham, Richarlison akan terlepas perlawanan pertama musim Liga Perdana selepas digantung kerana meraikan gol dengan melemparkan suar asap ketika bermain untuk Everton musim lalu.
Richarlison sebelum ini mengesahkan perpindahan bernilai AS$71 juta ke Tottenham minggu lalu, tetapi pemain Brazil itu perlu menunggu perlawanan pertamanya di liga utama sebelum menyarung jersi kelab tersebut.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol untuk Everton semasa kemenangan 1-0 menentang Chelsea pada 1 Mei dan bertindak balas dengan mengambil suar yang telah dilemparkan ke atas padang sebelum melontarkannya ke tempat duduk penonton di Goodison Park.
Kemenangan tersebut merupakan langkah penting dalam perjuangan Everton yang berjaya bagi mengelak daripada penyingkiran. Tetapi Richarlison, yang bersetuju dengan kontrak lima tahun dengan Tottenham itu, mengakui berkelakuan tidak wajar selepas didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) pada 1 Jun lalu.
Badan induk tersebut mengumumkan kelmarin bahawa Richarlison akan digantung satu perlawanan dan didenda £25,000. – AFP
