Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, penyanyi Rihanna turut berkongsi ucapan dan pengalaman bergelar seorang ibu kepada dua orang cahaya mata.
Namun di sebalik perkongsian tersebut, ramai tertarik dengan gayanya ketika bertarung nyawa ketika proses bersalin anak-anaknya sebelum ini.
Menerusi gambar yang dimuat naik, Rihanna secara berseloroh memberitahu walaupun sedang menahan sakit namun dia tetap mahu kelihatan cantik ketika menyambut kelahiran anaknya.
Kata Rihanna, ketika dalam bilik bersalin dia tetap memakai aksesori selain berkaca mata hitam.
“Saya memakai rantai mutiara dan kaca mata ketika bersalin. Jangan tanya! Banyak perkara yang berlaku,” katanya.
Dalam hantaran berkenaan dia juga berkongsi gambar dua anaknya iaitu RZA dan Riot Rose selepas dilahirkan.
Sementara itu, penyanyi lagu Umbrella ini menganggap menjadi seorang ibu adalah satu hal hebat dilakukan sebagai seorang wanita.
“Setakat ini perkara paling hebat saya lakukan sebagai wanita adalah melahirkan anak dan bergelar seorang ibu. Mereka adalah keajaiban kecil saya,” luahnya.
Untuk rekod Rihanna dan pasangannya iaitu penyanyi rap, ASAP Rocky memiliki dua cahaya mata bersama iaitu RZA, 3, serta Riot 2 tahun. – Agensi
