Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Dua orang pensyarah dan 18 mahasiswa dan mahasiswi daripada program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengikuti program Rihlah Ilmiah ke Osaka, Jepun bermula 2 hingga 7 Jun.
Program tersebut merupakan anjuran KUPU SB melalui Kelab Fikrah di bawah Fakulti Usuluddin. Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Norashibah binti Haji Awang Besar.
‘Rihlah Ilmiah’ merupakan satu wadah aktiviti berbentuk ilmiah yang bertujuan untuk menambahkan maklumat serta pengetahuan sekali gus membuka minda para mahasiswa dan mahasiswi dengan lawatan pusat, institusi dan sekolah dalam bidang pendidikan Islam.
Di samping itu, ia memberikan pendedahan kepada peserta mengenai suasana yang berbeza dengan Negara Brunei Darussalam dari segi pemakanan, kehidupan, bertukar-tukar fikiran dan pendapat bersama pelajar-pelajar luar.
Menurut Pensyarah Fakulti Usuluddin, Dayangku Hajah Norafizah binti Pengiran Haji Bungsu, selaku ketua rombongan menjelaskan bahawa antara objektif program Rihlah Ilmah ke Osaka tersebut ialah bagi membina dan memantapkan ukhuwah Islamiah antara mahasiswa KUPU SB dengan para mualaf dan pelajar Islam di Osaka, Japan.

Selain itu, lawatan bertujuan bagi menambahkan maklumat dan membuka minda para pelajar dengan melihat suasana pengajaran dan pembelajaran yang berbeza serta keluar daripada zon selesa diri pelajar.
Ia juga diharap dapat memperkayakan pengalaman dan membina hubungan intelektual pelajar terutamanya dalam soal ilmu dakwah islamiah menerusi perbincangan dan pembelajaran langsung dengan masyarakat Islam di Japan.
Selain itu juga untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja.
Dengan kerjasama Pusat Dakwah Jepun, rombongan berkesempatan untuk mengadakan aktiviti bersama dengan para mualaf termasuk demonstrasi wuduk dan solat, memimpin bacaan Al-Fatihah serta persembahan tausyeh dan bacaan Al-Quran.
Selain itu, rombongan berkesempatan untuk membuat lawatan ke Universiti Kansai, Osaka bagi perkongsian ilmu berkaitan pendidikan Islam. Rombongan turut menyerahkan wakaf termasuk sejadah, kelengkapan solat perempuan, buku panduan solat, buku-buku KUPU SB dan lain-lain lagi kepada ahli jawatankuasa masjid dalam kawasan Osaka.