Baru-baru ini saya ada terbaca salah satu hantaran dalam laman Facebook mengenai isu pekerja kedai kain yang mengekori pelanggan.
Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang mengalaminya bahkan ramai orang turut diekori di dalam kedai tersebut yang mana tindakan pekerja itu menimbulkan rasa yang tidak selesa dan kurang profesional.
Walaupun niat pekerja mungkin baik seperti memastikan keselamatan atau membantu pelanggan, namun bagi saya, pelanggan pun ada hak untuk membeli-belah dengan
tenang dan memerlukan ruang peribadi mereka.
Pelanggan mungkin merasa seperti diawasi atau tidak dipercayai yang boleh mengganggu pelanggan memilih barangan dengan tenang. Ketidakselesaan ini boleh membuatkan pelanggan kurang berminat untuk kembali ke kedai itu.
Saya berpendapat pekerja tersebut hanya menerima arahan daripada majikan mereka.
Tetapi mereka boleh sahaja mengawasi pelanggan secara tidak langsung dengan menjaga jarak, bagi memastikan keselamatan tanpa menimbulkan ketidakselesaan.
Bahkan pekerja boleh sahaja menyambut pelanggan dengan sopan dan bertanya jika mereka memerlukan bantuan tanpa perlu terus-menerus mengekori ke mana-mana mereka pergi.
Amal Faridah