Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh NFABD
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Rimba Star A muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) di Padang Sintetik NFABD House, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Manakala tempat kedua disandang oleh saingan terdekat Rimba Star A iaitu Pasukan Dash Junior FT, diikuti Pasukan HS Family A yang berjaya meraih tempat ketiga, sementara itu Pasukan HS Family C di tempat keempat.
Kejohanan itu hari ini menampilkan 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan, sebelum juara setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati dan kejohanan kali ini menyaksikan pemain Projek Ikan Pusu (PIP) A, Mohd Ateeq Hisham Zainal diumumkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Penjaga gawang Muara Spur, Mohd Haziq Waqqiuddin Haji Azrini pula dinobatkan Penjaga Gol Terbaik, manakala Wazif Mateen Haji Zamri memenangi anugerah Pengadil Muda Terbaik.
Hadir menyaksikan perlawanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Jururunding Teknikal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Dato Yap Nyim Keong.

