Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rindu beraksi di pentas lawak

    Jiwa pelakon, Fikry Ibrahim, 25, terhadap dunia komedi tidak pernah mati, meskipun peluang beraksi di pentas itu semakin terbatas.

    “Saya tidak pernah lupa dunia lawak, malah minat dalam cabang seni itu sebenarnya masih mendalam. Lagipun, bakat saya dicungkil menerusi program realiti, Lawak Solo 2016. Sangkakan, saya mampu melangkah lebih jauh sebagai pelawak selepas program itu berakhir.

    Namun, sebaliknya berlaku apabila saya meraih banyak peluang dalam bidang lakonan. Saya bagaimanapun, bersyukur dengan peluang yang diberikan kerana ia banyak membantu saya mengasah lagi bakat yang ada,” katanya.

    Fikry akur, namanya sebagai pelawak semakin dilupakan apabila lebih menyerlah dengan watak serius. Namun, katanya kemunculan dalam drama komedi romantik, Cik Reen Encik Ngok Ngek sedikit sebanyak mengingatkan peminat langkahnya bermula sebagai pelawak.

    Fikry yang meraih tempat ketiga dalam program itu berkata, dia pada awalnya tidak pernah bercita-cita menjadi pelakon atau pengacara kerana jiwanya hanya untuk dunia lawak.

    “Saya menerima tawaran berlakon dan mengacara untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila tiada tawaran beraksi di pentas lawak. Secara jujur, saya tidak meniti laluan mudah dalam mencari rezeki. Saya pernah tiada kerja selama empat bulan selepas program itu tamat. Mungkin ia bukan bidang saya, tetapi saya tidak boleh hanya duduk menanti peluang. Saya bertuah kerana syarikat pengurusan, Laugh Out Loud Entertainment dan orang sekeliling banyak membantu saya untuk berada di tahap ini,” katanya.

    Anak kelahiran Jitra, Kedah itu berkata, dia kini semakin selesa membina nama sebagai anak seni. Biarpun tawaran semakin banyak diterima, Fikry berkata, sudah menjadi prinsipnya untuk tidak melakukan dua kerja serentak.

    “Memang betul saya nak cari duit, tetapi saya tidak mahu tamak hingga mengabaikan soal kualiti. Selalunya, saya akan berehat seminggu dua sebelum menyambung projek kerja lain,” katanya. – Agensi

    Fikry akur, namanya sebagai pelawak semakin dilupakan apabila lebih menyerlah dengan watak serius. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda