ISKANDAR PUTERI, 26 MAC – Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui rindunya terubat selepas membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di Johor kelmarin.
Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim berkata walaupun berpeluang kembali beraksi, beliau masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan dan mencapai tahap terbaiknya.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), jurulatih Peter (Peter Cklamovski), TMJ yang memberi peluang dan semangat kepada saya setahun tak bersama pasukan kebangsaan.
“Ini buat kali pertama saya menyarung jersi pasukan kebangsaan kembali, amat-amat rindu sebenarnya, dan pada malam ini (kelmarin) walaupun dapat peluang bermain saya rasa banyak lagi saya perlu perbaiki untuk masa depan dan perlawanan berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas aksi menentang Nepal.
Pada aksi semalam, Faisal membuat penampilan pertamanya dengan jersi Harimau Malaya sejak insiden serangan asid pada Mei tahun lepas, apabila dimasukkan ketika perlawanan berbaki kurang 20 minit.
Tahun lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badannya dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Sementara itu pemenang Gol Terbaik Piala Asia 2023 yang mesra disapa Mickey itu mengakui berasa janggal ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Perasaan sebelum masuk memang agak lain, tak seperti sebelum ini sebagai pemain tetap, sekarang ini saya kena banyak bekerja keras untuk mencari rentak dan persembahan terbaik. Buat masa sekarang saya dah buktikan Mickey boleh beraksi dan perlukan masa lagi untuk jadi terbaik,” katanya. – Bernama
