Saturday, March 1, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rindu kasih yang tak sempurna

    Assalamualaikum kepada sesiapa yang sudi membaca. Aku ingin meluahkan sesuatu yang sudah lama aku pendam iaitu tentang rindu dan kekosongan dalam hati seorang anak yang membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah sepenuhnya.

    Dari kecil, aku melihat kawan-kawan lain punya keluarga yang bahagia. Mereka keluar bersama, makan bersama, bercerita dan bergelak ketawa tanpa rasa canggung. Tapi aku? Aku hanya mampu memerhati, sambil bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa aku tak dapat rasa semua itu?”

    Ibu dan ayah sudah lama berpisah. Mereka tidak lagi bersama, dan aku seperti terperangkap di antara dua dunia yang berbeza. Kadang-kadang aku dengan ibu, kadang-kadang dengan ayah. Tapi di mana pun aku berada, tetap ada ruang kosong dalam hati ini yang tidak pernah terisi.

    Aku rindu perhatian seorang ibu, yang membelai kepala aku dengan kasih sayang, yang ada di sisi setiap kali aku jatuh dan terluka. Aku juga rindu kehadiran seorang ayah, yang boleh aku peluk bila aku perlukan perlindungan, yang boleh aku banggakan seperti anak-anak lain.

    Aku bukan minta ibu dan ayah kembali bersama, aku cuma mahu mereka tetap melihat aku sebagai anak yang memerlukan kasih sayang. Aku tak mahu rasa seperti beban yang terpaksa dibahagikan antara dua insan yang sudah tak sehaluan. Aku cuma nak rasa disayangi, dihargai, dan dipedulikan tanpa perlu memilih sebelah mana yang lebih aku perlukan.

    Buat ibu dan ayah, kalau kalian membaca ini, ketahuilah, aku tak perlukan hadiah mahal atau wang ringgit. Aku cuma mahu kasih sayang yang tak berbelah bagi. Aku cuma mahu rasa kehadiran kalian dalam hidup aku, bukan hanya sebagai ibu dan ayah di atas kertas, tetapi sebagai tempat aku berpaut bila dunia terasa terlalu berat.

    Awang Sepi

    Gambar Unsplash

    NASIHAT DANG MP

    Waalaikumsalam Awang Sepi dan terima kasih kerana berkongsi perasaan dengan begitu jujur. Amatlah menyedihkan apabila seorang anak yang tidak bersalah menjadi mangsa menagih kasih daripada ibu dan ayahnya yang terpisah. Benarlah pendapat yang mengatakan ketika ibu bapa bercerai, anak-anaklah yang paling menanggung sengsara.

    Ketahuilah Awang Sepi bahawa apa yang terjadi bukanlah salah awda dan ia tidak menentukan nilai diri awda pada masa ini dan juga masa hadapan. Penting untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk menyembuhkan luka emosi ini tanpa rasa bersalah. Menulis dan meluahkan perasaan seperti tulisan ini adalah salah satu cara yang baik untuk melepaskan tekanan jiwa. Jika boleh, berbicaralah dengan orang yang boleh dipercayai seperti rakan-rakan, saudara-mara atau dapatkan sokongan kaunselor.

    Dang nasihatkan juga supaya cuba cari kebahagiaan dalam hubungan yang sedia ada seperti dengan saudara, rakan rapat, atau komuniti yang boleh memberi sokongan.

    Libatkan diri dengan aktiviti yang boleh memberi makna dan kegembiraan dan juga boleh membantu mengisi kekosongan itu.

    Ingatlah juga bahawa Awang tidak berseorangan. Mungkin ramai juga yang pernah melalui situasi yang sama dan berjaya mencari kekuatan dalam diri mereka.

    Luaskan pergaulan supaya dapat belajar daripada pengalaman orang lain yang boleh membantu awda. Ketahuilah, walau bagaimanapun awda tetap berharga dan layak untuk disayangi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda