Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Satu perjalanan yang amat dirindui oleh setiap hati yang beriman ialah perjalanan menunaikan haji. Antaranya rindu pada suasana Masjidil Haram, rindu untuk berdiri di depan Kaabah, rindu untuk sujud di bumi barakah, dan rindu menitis air mata di Padang Arafah.
Demikian adalah antara inti pati tazkirah bertajuk Perjalanan yang Dirindui (Haji) yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas selaku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali.

Menurut beliau, ibadah haji merupakan panggilan Ilahi yang tidak dinilai melalui kekayaan atau kemampuan semata-mata, tetapi atas jemputan khas daripada Allah SWT.
“Bukan semua yang mampu akan pergi dan bukan semua yang pergi kerana dia kaya. Ramai yang pergi haji setelah bertahun-tahun menabung dengan penuh sabar. Tapi ada juga yang mampu, tapi masih belum dijemput,” jelas beliau.
Justeru, beliau menyeru umat Islam agar tidak memadamkan rasa rindu berkenaan dan terus berdoa serta berusaha untuk menjadi tetamu Allah.
Tazkirah berkenaan merupakan salah satu pengisian dalam program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang diadakan bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien awal pagi tadi.
Program dimulakan dengan Sembahyang Subuh berjemaah diikuti dengan bacaan wirid secara beramai-ramai.
Program berkenaan diungkayahkan dengan tujuan untuk menggalakkan umat Islam agar sentiasa hadir memakmurkan masjid secara istiqamah, khususnya dalam menunaikan sembahyang Subuh secara berjemaah selain memberi ruang untuk meraih keberkatan di awal hari melalui amalan ibadah berjemaah dan bacaan wirid yang mendatangkan ganjaran pahala serta ketenangan jiwa.
Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam memperkukuh budaya cintakan masjid serta menyemarakkan lagi suasana keislaman dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Atas & Bawah: Antara yang hadir semasa program berkenaan.
