Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) kelmarin menyampaikan sumbangan derma mangsa lemas dan mangsa rumah roboh kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.
Majlis penyampaian sumbangan di sekolah itu disampaikan oleh Pengetua STPRI, Dayang Tutty Hyrneeita binti Abdul Latip.
Sumbangan tersebut merupakan sumbangan daripada pelajar, guru dan kakitangan serta Persatuan Ibu Bapa Guru STPRI atas keprihatinan dan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan kutipan itu diungkayahkan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar STPRI.
Dengan adanya sumbangan ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa dengan sikap simpati dan prihatin kepada mereka selain keluarga mangsa juga tidak berasa bersendirian dalam menghadapi masalah tersebut.
Turut hadir menyaksikan penyampaian derma itu, Timbalan Pengetua STPRI (Bahagian Pentadbiran) Haji Ismail bin Haji Brahim dan guru kanan yang lain sekolah berkenaan.