Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu keluarga dan ahli masyarakat yang kurang bersama baik di keempat-empat daerah, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah memulakan Inisiatif Sirah Amal BIBD ke-8, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, bank berkenaan dengan kakitangannya berganding bahu untuk memberikan keriangan kepada keluarga yang dilawati dengan menyampaikan sumbangan dan bantuan berupa barangan keperluan harian, barangan sembahyang, barangan untuk Hari Raya serta pelbagai barang untuk persiapan Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang.
Inisiatif Sirah Amal BIBD ke-8 memulakan lawatannya dengan menghulurkan bantuan dan melawat keluarga-keluarga di Daerah Tutong.

Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dipetik menyatakan bahawa 26 Mei menandakan bermulanya Sirah Amal BIBD ke-8 di mana bank dan kakitangannya meneruskan komitmen mereka ke arah menyumbang kepada masyarakat.
Beliau menerangkan lagi bahawa Sirah Amal BIBD merupakan platform yang baik bagi mereka untuk berkongsi keberkatan khususnya dengan mereka yang kurang bernasib baik supaya mereka dapat menikmati sambutan bakal menjelang dengan lebih gembira bersama keluarga mereka.
Pada masa yang sama, beliau juga ingin menyatakan penghargaan kepada SKH Department Store yang menjadi rakan kongsi kemasyarakatan bagi sama-sama menjayakan Sirah Amal BIBD 2018.