Ringgit dijangka mengukuh berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 JUN – Ringgit dijangka mengukuh ke paras RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun dalam persekitaran asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, Dr Anthony Dass berkata, data ekonomi menunjukkan bahawa menjelang separuh kedua tahun ini sentimen perniagaan dan sektor pembuatan Malaysia kekal positif dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam prospek perniagaan.

Dass berkata, minyak mentah Brent yang didagangkan pada harga purata AS$104 setong tahun ini dan harga minyak sawit mentah yang secara konservatif secara purata sekitar RM5,500 satu tan metrik juga akan menjadi faktor positif untuk menyokong ringgit.

Melangkah ke hadapan, beliau berpendapat bahawa ringgit akan terus dipengaruhi oleh pergerakan dolar AS serta bagaimana mata wang China, renminbi akan bertindak balas terhadap dolar AS.

Dass turut berkongsi bahawa Bank Negara Malaysia mempunyai penampan yang mencukupi untuk menyokong ringgit dan menggunakan hanya kira-kira AS$8.6 bilion untuk menstabilkan ringgit. Dass menambah bahawa Ambank mengunjurkan dua lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, pada bulan Julai dan September. – Bernama