Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rio de Janeiro hadapi kerosakan banjir selepas hujan lebat memautkan

    RIO DE JANEIRO, 16 JAN – Kejiranan di negeri Rio de Janeiro, Brazil terus dilanda banjir, kelmarin, lebih sehari selepas hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang.

    Hujan lebat mengakibatkan malapetaka pada hujung minggu, membanjiri rumah orang ramai, hospital, laluan metro di bandar Rio dan bahagian lebuh raya utama, Avenida Brasil.

    Beberapa orang mati lemas dan terbunuh dalam tanah runtuh, manakala sekurang-kurangnya tiga maut selepas terkena renjatan elektrik. 18 bandar di seluruh negeri kekal pada risiko ‘tinggi’ tanah runtuh, menurut pegawai pertahanan awam.

    Banjir itu amat memusnahkan di pinggir utara Rio, beberapa kawasan termiskin di metropolitan itu.

    “Kami berasa seperti haiwan. Tidak normal untuk hidup seperti ini,” kata Heloisa Regina, 55, ketika beliau meninjau bar dan rumahnya yang dinaiki air di Duque de Caxias, sebuah bandar di utara Rio di mana lebih 100 milimeter (3.9 inci) hujan turun dalam masa 24 jam.

    Regina menghabiskan malam itu cuba tidur di atas meja pool, tertanya-tanya bagaimana beliau akan membayar untuk membaiki kerosakan pada bar yang dimilikinya selama 30 tahun. “Kami telah kehilangan segala-galanya,” katanya.

    Penduduk mengharungi air separas pinggang, kelmarin, untuk mengemudi jalan-jalan di Duque de Caxias. Yang lain naik ke atas bumbung dan meminta bantuan ketika helikopter terbang di atas kepala, menurut rakaman video dari rangkaian televisyen Globo Brazil.

    Anggota bomba sedang mencari seorang wanita yang hilang selepas keretanya terjatuh ke dalam Sungai Botas di kawasan kejiranan Belford Roxo, Rio.

    Kira-kira 2,400 anggota tentera dari kor bomba Rio telah digerakkan pada hujung minggu dan menggunakan ambulans, bot, dron dan pesawat untuk menyelamatkan penduduk dan memantau kawasan yang terjejas.

    Pihak berkuasa campur tangan dalam lebih 200 insiden akibat banjir di seluruh negeri, menurut kenyataan dari pertahanan awam Rio. Tetapi beberapa orang menuduh pihak berkuasa cuai. – AP

    Anggota bomba memindahkan penduduk melalui jalan yang dinaiki air selepas hujan yang memautkan di Belford Roxo, Brazil, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda