TENOM, 18 MEI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mewujudkan Depoh Getah Berteknologi Tinggi di Sabah.
Ahmad Zahid yang Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata pewujudan depoh berkenaan yang dicadang untuk dibina di Tenom, adalah penting bagi memajukan industri getah di Sabah serta membantu pekebun getah di negeri itu.
Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam industri getah Malaysia dengan memiliki keluasan tanaman terbesar di negara ini iaitu 202,536 hektar atau 25.69 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman getah negara. “Dengan wujudnya depoh berkenaan, RISDA juga harus membangunkan produk hiliran berasaskan getah secara komersial, termasuk kajian bahan api biologi daripada getah skrap di mana satu kilogram getah skrap mampu menghasilkan lima liter biodiesel yang dinamakan RISDA Biofuel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat negeri Sabah di Dewan SJK (C) Chung Hwa di sini hari ini. – Bernama
