Tuesday, May 7, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Risiko dan manfaat AI dalam penjagaan kesihatan

    GENEVA – Kecerdasan buatan (AI) generatif boleh mengubah penjagaan kesihatan melalui perkara seperti pembangunan ubat dan diagnosis yang lebih pantas, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan baru-baru ini bahawa banyak perhatian harus diberikan kepada risikonya.

    WHO telah mengkaji potensi bahaya dan faedah yang ditimbulkan oleh model-model AI berbilang modal besar (LMM), yang agak baharu dan cepat diterima pakai dalam kesihatan.

    LMM ialah sejenis AI generatif yang boleh menggunakan berbilang jenis input data, termasuk teks, imej dan video serta menjana output yang tidak terhad kepada jenis data yang dimasukkan ke dalam algoritma.

    “Telah diramalkan bahawa LMM akan mempunyai penggunaan dan aplikasi yang meluas dalam penjagaan kesihatan, penyelidikan saintifik, kesihatan awam dan pembangunan ubat,” kata WHO.

    Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menggariskan lima bidang luas di mana teknologi itu boleh digunakan.

    AI generatif mempunyai banyak manfaat dalam kesihatan seperti pembangunan ubat-ubatan, namun WHO memberi amaran ia juga mempunyai risiko. – Freepik
    Gambar Freepik

    Ia termasuk diagnosis, seperti menjawab pertanyaan bertulis pesakit, penyelidikan saintifik dan pembangunan ubat, pendidikan perubatan dan kejururawatan, tugas perkeranian, dan penggunaan berpandukan pesakit, seperti menyiasat simptom.

    Walaupun ini berpotensi, WHO memberi amaran terdapat risiko yang didokumenkan bahawa LMM boleh menjana hasil yang palsu, tidak tepat, berat sebelah atau tidak
    lengkap.

    Ia juga mungkin menggunakan data berkualiti rendah atau data berat sebelah yang berkaitan dengan kaum, etnik, keturunan, jantina, identiti jantina atau umur.

    “Apabila LMM mendapat penggunaan yang lebih meluas dalam penjagaan kesihatan dan perubatan, kesilapan, penyalahgunaan dan akhirnya membahayakan individu tidak dapat dielakkan,” WHO mengingatkan.

    Pada 18 Januari lalu, WHO mengeluarkan saranan tentang etika dan tadbir urus LMM, untuk membantu kerajaan, firma teknologi dan penyedia penjagaan kesihatan dalam memanfaatkan teknologi tersebut dengan selamat.

    “Teknologi AI generatif mempunyai potensi untuk meningkatkan penjagaan kesihatan tetapi hanya jika mereka yang membangun, mengawal selia dan menggunakan teknologi ini mengenal pasti dan mengambil kira sepenuhnya risiko yang berkaitan,” kata ketua saintis WHO, Jeremy Farrar.

    “Kami memerlukan maklumat dan dasar yang telus untuk mengurus reka bentuk, pembangunan dan penggunaan LMM.”

    WHO berkata, peraturan liabiliti diperlukan untuk “memastikan bahawa pengguna yang terjejas oleh LMM diberi pampasan yang secukupnya atau mempunyai bentuk penyelesaian lain”.

    AI sudah digunakan dalam diagnosis dan penjagaan klinikal, contohnya untuk membantu dalam radiologi dan pengimejan perubatan.

    Bagaimanapun, WHO menegaskan bahawa format LMM memberikan “risiko yang masyarakat, sistem kesihatan dan pengguna akhir mungkin belum bersedia untuk menangani sepenuhnya”.

    Ini termasuk kebimbangan sama ada LMM mematuhi peraturan sedia ada, termasuk mengenai perlindungan data dan fakta ia sering dibangunkan oleh syarikat gergasi teknologi, disebabkan sumber penting yang diperlukan dan seterusnya boleh mengukuhkan penguasaan syarikat berkenaan.

    Panduan itu menyarankan bahawa LMM harus dibangunkan bukan hanya oleh saintis dan jurutera sahaja tetapi dengan melibatkan profesional perubatan dan pesakit.

    WHO juga memberi amaran bahawa LMM terdedah kepada risiko keselamatan siber yang boleh membahayakan maklumat pesakit atau malah kebolehpercayaan penyedia penjagaan kesihatan.

    Ia berkata kerajaan-kerajaan harus menetapkan pengawal selia untuk meluluskan penggunaan LMM dalam penjagaan kesihatan dan perlu ada pengauditan dan penilaian impak. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Diplomat Afghanistan letak jawatan susulan kes seludup emas AS$2 juta

    NEW DELHI, 6 MEI - Seorang diplomat tertinggi Afghanistan di India telah meletak jawatan beberapa hari selepas dia dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan...