Oleh Irene Tham
SINGAPURA – Dua penumpang cedera ringan dalam penerbangan Scoot yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan ke Singapura baru-baru ini selepas pengecas mudah alih terbakar.
Kebakaran tersebut telah dipadamkan dan Penerbangan TR993 telah dijadualkan semula.
Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan bateri, terutamanya mengapa power bank cenderung terbakar, mengapa ia tidak dibenarkan dalam bagasi berdaftar dan apa langkah keselamatan yang perlu diambil oleh pengguna.
Editor teknologi, Irene Tham mengulas soalan-soalan ini dalam analisisnya.
Apa yang menyebabkan alat elektronik seperti power bank terbakar?
Bateri dalam alat ini mudah terbakar. Bateri litium-ion (Li-ion) yang pertama dicipta pada tahun 1970an, sangat popular kerana dapat memberikan jumlah tenaga yang tinggi berbanding dengan bateri nikel-metal hidrid atau bateri asid plumbum.
Hari ini, bateri Li-ion memberikan tenaga untuk semua peranti dari telefon pintar dan power bank hingga kenderaan elektrik, malah Stesen Angkasa Antarabangsa.

Walau bagaimanapun, bateri tersebut sebenarnya mudah terbakar.
Ia menyimpan dan melepaskan tenaga elektrik melalui tindak balas elektrokimia yang menghasilkan haba.
Bateri berasaskan litium boleh menjadi terlalu panas dalam keadaan ekstrem, seperti suhu yang ekstrem (di bawah 0 darjah Celcius atau di atas 65 darjah Celcius), tekanan mekanikal dan apabila direka untuk dicas dengan pantas.
Komponen penting dalam bateri Li-ion untuk mengelakkan apa yang biasa dikenali sebagai litar pintas ialah pemisah antara elektrod positif (katod) dan negatif (anod). Pemisah ini selalunya diperbuat daripada bahan polimer mikroliang.
Untuk membuat bateri mengecas lebih cepat dan tahan lebih lama, pembuat bateri cenderung untuk mengurangkan ketebalan filem pemisah. Semasa pengecasan, pemisah sering mengalami tekanan mekanikal apabila elektrod mengembung.
Pemisah yang lebih nipis mempunyai peluang yang lebih besar untuk hancur, yang kemudiannya menyebabkan elektrod bersentuh secara langsung, mewujudkan litar pintas.
Haba yang banyak kemudiannya terhasil, mencairkan pemisah, yang boleh menyebabkan litar pintas selanjutnya.
Ini adalah bagaimana asap, kebakaran dan letupan boleh berlaku.
Pembuat bateri cenderung untuk tidak menggunakan pemisah yang tebal kerana ia menyebabkan rintangan dalaman yang lebih besar, memperlahankan pengecasan.
Pemisah yang tebal juga bermakna kurang ruang untuk bahan elektrod, yang menyimpan tenaga.
Malangnya, untuk mendapat pengecasan yang pantas, keselamatan perlu dikompromi. Kecacatan dalam pembuatan juga boleh menghasilkan bateri yang tidak selamat untuk digunakan.
Perlukah pengguna berasa risau?
Pakar mengatakan kemungkinan peranti mudah alih meletup adalah lima dalam sejuta. Tetapi terdapat peningkatan dalam bilangan penarikan balik produk serta kebakaran akibat bateri yang rosak sejak kebelakangan ini.
Pada tahun 2022, Pejabat Keselamatan Produk Pengguna Singapura (CPSO) mengarahkan Harvey Norman Singapura untuk berhenti menjual power bank ‘Urban Power N Brandz PD18W 10,000mAh’.
CPSO juga memberitahu peruncit dalam talian, TMALL1688 untuk berhenti menjual power bank mudah alih 20,000mAh kerana alat elektronik berkenaan terbakar semasa ujian keselamatan.
Pada Oktober 2020, LG Electronics menawarkan perkhidmatan penggantian percuma untuk papan kuasa pada 18 model televisyen OLEDnya yang dihasilkan dari Februari 2016 hingga September 2019. Ini mungkin disebabkan oleh masalah terlebih panas.
Pada tahun 2019, terdapat lima penarikan balik produk disebabkan oleh bateri rosak yang boleh menjadi terlebih panas dan menimbulkan bahaya kebakaran iaitu lampu depan OnNight 410 Trail Running, dijual antara Februari 2014 dan September 2018, ditarik balik oleh peruncit Decathlon.
Unit MacBook Pro 15-inci terpilih yang dijual antara September 2015 dan Februari 2017, dipanggil semula oleh Apple; Pengecas power bank bersaiz poket yang dijual oleh peruncit Cotton On antara Oktober 2018 dan Januari 2019.
Penyesuai kuasa hibrid untuk power bank, dipanggil semula oleh Dell kerana kecacatan reka bentuk yang boleh mendedahkan komponen dalaman dan menimbulkan bahaya kejutan elektrik; Program penarikan semula keselamatan bateri HP telah diperluaskan kepada bateri ganti untuk siri komputer riba ProBook 4xx.
Pada 2018, CPSO mendapati bahawa 17 power bank terbakar semasa ujian keselamatannya, dan mengeluarkan amaran kepada peruncit untuk berhenti menjualnya.
Penarikan semula besar-besaran telefon mudah alih pertama di dunia berlaku pada tahun 2016, apabila Samsung menarik balik sejumlah 2.5 juta peranti Samsung Galaxy Note7, yang dicetuskan oleh insiden di mana ia terbakar apabila bateri menjadi terlebih panas.
Bilangan kebakaran dari alat pengangkutan peribadi juga meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Terbaharu pada Disember 2022, kebakaran yang memusnahkan flat satu bilik di Woodlands bermula daripada bantuan mobiliti peribadi di ruang tamu flat berkenaan. Bateri kepada alat elektronik tersebut, yang dibeli dalam talian, didapati telah tamat tempoh.
Pada April 2022, kebakaran yang berlaku di sebuah flat di Bukit Merah berpunca daripada pek bateri basikal elektrik yang sedang dicas di ruang tamu. Pada tahun 2021, terdapat 32 kebakaran melibatkan peranti mobiliti peribadi dan 23 melibatkan basikal berkuasa elektrik.
Apakah langkah berjaga-jaga yang perlu pengguna ambil?
Memandangkan tiada cara untuk mengetahui sama ada satu-satu bateri adalah baik atau rosak, pengguna tidak seharusnya membiarkan peranti dicas semalaman.
Pengguna juga harus mengelak dari kawasan yang bersepah di mana peranti dipalamkan ke soket sambungan kuasa untuk pengecasan yang berpanjangan.
Mereka juga harus menggunakan kabel asal untuk mengecas peranti mereka.
Tekanan mekanikal boleh terjadi apabila telefon atau power bank terjatuh.
Ini mengubah struktur dalaman bateri, yang membawa kepada litar pintas dan terlebih panas.
Apabila bateri rosak, ia sering mengembung. Pengguna dinasihatkan untuk membuang alat elektronik jika mereka melihat bateri telah mengembung, atau menggantikan bateri.
Mereka juga harus memeriksa kehadiran hakisan atau sisa serbuk pada bateri mereka, yang merupakan tanda-tanda kerosakan.
Simpan bateri Li-ion di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik dan kering dari cahaya matahari langsung atau sumber haba.
Bateri hendaklah disusun supaya ia stabil dan tidak boleh terhantuk, terlanggar atau rosak.
Beli bateri daripada sumber yang boleh dipercayai dan gunakan bateri asal.
Elakkan membeli bateri terpakai kerana tiada cara untuk mengetahui sama ada ia telah tamat tempoh.
Anggaran jangka hayat biasa bateri Li-ion adalah kira-kira dua hingga tiga tahun, atau 300 hingga 500 kitaran pengecasan.
Apakah alat elektronik perlu dibawa ke kabin penerbangan?
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di Amerika Syarikat menasihatkan bahawa peranti yang mengandungi logam litium atau bateri Li-ion termasuk komputer riba, telefon pintar dan tablet hendaklah dimasukkan ke dalam bagasi kabin.
Apabila peranti elektronik mudah alih yang dikuasakan oleh bateri litium berada dalam bagasi berdaftar, ia mesti dimatikan sepenuhnya dan dilindungi untuk mengelakkan kerosakan atau pengaktifan yang tidak disengajakan.
Bateri litium logam dan Li-ion gantian (atau power bank) dilarang di dalam bagasi berdaftar dan mesti dibawa ke kabin. Ia akan menjadi malapetaka jika peranti terbakar tanpa disedari di ruang bagasi pesawat.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura juga memerlukan power bank dan peranti pengangkutan peribadi yang dikuasakan oleh bateri Li-ion untuk dibawa ke kabin.
Terdapat juga had terhadap penarafan watt-jam (Wh) dan kandungan litium untuk power bank dan peranti pengangkutan peribadi iaitu 160Wh dan 8g. – ANN/The Straits Times