Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Risiko kematian ibu meningkat: PBB

    GENEVA, 7 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kadar kematian ibu mengandung di peringkat global telah terhenti sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun mencatatkan penurunan ketara sebanyak 40 peratus sejak awal abad ini.

    Dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan Isnin, WHO melaporkan kira-kira 260,000 kematian ibu berlaku sepanjang tahun 2023, bersamaan dengan satu kematian setiap dua minit.

    Namun, ketua jabatan kesihatan reproduktif dan penyelidikan WHO, Pascale Allotey berkata kadar kemajuan kini hampir terhenti, malah beberapa wilayah dilihat mengalami kemunduran.

    “Sebahagian besar kematian ibu boleh dicegah. Dalam keadaan global yang rapuh ini, sikap berpuas hati bukan sahaja berbahaya, malah membawa maut,” katanya.

    Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pula menegaskan akses kepada penjagaan kesihatan ibu yang berkualiti serta pemerkasaan hak kesihatan reproduktif wanita dan kanak-kanak perempuan adalah kunci utama dalam mengurangkan risiko kehamilan.

    WHO turut menyuarakan kebimbangan terhadap pemotongan bantuan global yang mungkin memburukkan lagi keadaan.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran usaha membanteras kematian ibu mungkin berdepan kemunduran besar susulan pemotongan bantuan kemanusiaan di peringkat global.

    Walaupun kemajuan dalam mengurangkan kadar kematian ibu telah mula perlahan sejak hampir sedekad lalu, agensi-agensi PBB menyuarakan kebimbangan bahawa situasi tersebut bakal meruncing, terutamanya selepas Presiden AS Donald Trump kembali memegang jawatan dan segera membekukan sebahagian besar pembiayaan bantuan luar negara Amerika Syarikat.

    WHO menegaskan bahawa tanpa sokongan kewangan yang kukuh, perkhidmatan kesihatan penting seperti penjagaan ibu mengandung dan bersalin berisiko terhenti, sekali gus meningkatkan lagi kadar kematian ibu, khususnya di negara-negara membangun. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda