Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Risiko memandu apabila cermin kereta retak

    Bahagian cermin hadapan kereta boleh dikatakan mudah dan berisiko untuk rosak kerana ia sering terdedah kepada persekitaran luar. Contohnya, terkena serpihan batu kecil yang berpunca daripada kenderaan berat.

    Disebabkan itu, pemilik kereta sangat digalakkan untuk mengambil perlindungan tambahan cermin hadapan atau lebih mudah disebut sebagai windscreen ketika memperbaharui insurans agar tuntutan boleh dibuat tanpa sebarang penolakan NCD bagi membaiki cermin yang telah rosak atau retak itu.

    Namun, perasan atau tidak, apabila membabitkan keretakan atau kerosakan cermin kereta, ada ramai yang mengambil ringan mengenainya. Bahkan ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk menggantikan windscreen kereta yang retak kepada yang baharu, dengan alasan keretakan itu tidaklah begitu teruk.

    Namun, tahu kah awda bahawa memandu kereta yang cerminnya retak atau rosak sebenarnya boleh mengundang bahaya. Ya, tahap bahayanya mungkin berbeza, namun ia seeloknya dibaiki secepat mungkin bagi mengurangkan risiko yang boleh berlaku pada masa akan datang, contohnya kecederaan.

    Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai risiko memandu kereta yang cerminnya telah retak atau rosak, ayuh teruskan membaca perkongsian dari laman blog BJAK.

    Gambar Envato
    Cermin depan kereta membantu memastikan beg udara berfungsi dengan betul. – Agensi
    Ramai yang mengambil ringan mengenai kerosakan atau keretakan cermin depan kereta. – Agensi

    Meskipun keretakan atau kerosakan cermin kereta mungkin nampak remeh pada mata awda, namun perlu awda tahu bahawa ia boleh mengundang pelbagai risiko seperti yang dinyatakan di bawah ini.

    MENGHALANG PENGLIHATAN

    Secara dasarnya, cermin kereta yang telah retak boleh mengganggu penglihatan awda ketika memandu terutamanya jika kerosakan tersebut adalah di bahagian pemandu. Akibat daripada gangguan penglihatan, ia secara tidak langsung boleh membahayakan pemanduan awda dan seterusnya mungkin boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran dengan kenderaan lain.

    Tambahan pula, cermin depan yang retak juga akan memberikan gangguan yang berterusan. Selain memantulkan cahaya matahari, keretakan juga boleh menimbulkan silau yang tidak menyenangkan. Jika situasi itu berlaku, keselamatan awda dan penumpang kenderaan mungkin berada dalam bahaya.

    KEUPAYAAN KERETA TERGUGAT

    Tahukah awda? Windscreen kereta yang berfungsi dengan sempurna menambah 40 peratus kekuatan bumbung kereta. Perlu awda ingat, cermin depan kereta mempunyai fungsi yang sangat penting. Fungsi penting windscreen mungkin tidak terjejas oleh keretakan pada kaca tetapi ia kurang berkesan apabila retak. Disebabkan oleh faktor-faktor ini, apabila kereta itu terbalik, bumbungnya boleh runtuh dan menyebabkan kecederaan parah kepada penumpangnya.

    PENGGUNAAN BEG UDARA TIDAK BERKESAN

    Apabila berlaku pelanggaran yang kuat, cermin depan kereta awda juga sebenarnya membantu memastikan beg udara awda berfungsi dengan betul. Ini kerana cermin depan menyediakan tempat penahan belakang untuk beg udara supaya ia mengembang ke arah penumpang. Namun, jika beg udara tidak berfungsi dengan tepat kerana cermin depan sudah retak, maka ia boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.

    KEMALANGAN MAUT

    Cermin depan direka untuk melindungi awda, penumpang dan kereta awda semasa kemalangan. Sekiranya berlaku pelanggaran daripada bahagian hadapan, cermin depan yang telah retak atau rosak itu tidak dapat menahan daya hentakan, sekali gus menimbulkan ancaman kepada awda serta penumpang dalam kenderaan.

    Lebih teruk jika ada yang tidak memakai tali pinggang keledar, dia juga boleh berisiko untuk tercampak keluar dari kereta!

    CARA TUNTUT INSURAN CERMIN KERETA ROSAK

    Memahami risiko-risiko di atas, awda sangat digalakkan untuk menukar atau menggantikan cermin kereta yang telah rosak kepada yang baharu bagi keselamatan awda dan juga semua penumpang dalam kereta.

    Jangan risau, jika awda adalah pemegang polisi komprehensif, awda boleh sahaja menuntut insurans untuk menukar cermin kereta awda itu. Jika awda ada add-on perlindungan tambahan untuk windscreen tempoh hari, tuntutan awda itu boleh dibuat tanpa sebarang penolakan kadar NCD. Namun jika tiada, awda masih juga boleh membuat tuntutan namun, NCD awda akan terjejas.

    • Hantar kereta awda ke bengkel panel yang diiktiraf oleh syarikat insurans awda.

    Sekiranya awda tidak pasti, segera hubungi talian awam syarikat insurans awda.

    • Isi borang tuntutan di bengkel tersebut. Pastikan awda beritahu pekerja di bengkel bahawa awda ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans awda.

    • Selepas pembaikan, awda boleh bawa pulang kereta awda. Awda tidak perlu mengeluarkan duit untuk mana-mana caj pembaikan dan juga kos buruh.

    Sebelum itu, pastikan juga awda telah menyediakan beberapa dokumen bagi urusan prosedur tuntutan. Dokumen itu adalah untuk keperluan bengkel yang akan membaiki cermin kereta awda. Kebiasaannya, pihak kedai yang akan berurusan terus dengan pihak insurans. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda