Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Risiko peningkatan suhu Bangkok, lebih 2,300 nyawa terancam

    BANGKOK, 26 MAC – Tanpa campur tangan yang mencukupi, peningkatan purata suhu Bangkok sebanyak satu darjah celsius boleh mengakibatkan lebih 2,300 kematian akibat strok haba serta kehilangan upah bernilai 44 bilion baht akibat kemerosotan produktiviti, menurut kajian Bank Dunia dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).

    Laporan bertajuk Membentuk Bangkok Yang Lebih Nyaman: Menangani Haba Bandar untuk Kehidupan Lebih Selesa menekankan bahawa Bangkok kini mengalami gelombang haba yang semakin teruk dan berpanjangan.

    Ia menyatakan bahawa kesan pulau haba bandar memburukkan lagi krisis dengan mengubah kawasan binaan menjadi perangkap haba, yang memberi tekanan kepada kesihatan, produktiviti dan infrastruktur.

    “Tanpa langkah intervensi, menjelang 2050, suhu yang tidak selamat boleh menyebabkan banyak pekerjaan luar tidak dapat dilaksanakan, dan masalah kesihatan berkaitan haba akan terus meningkat.”

    “Kumpulan rentan, termasuk 880,000 orang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dan sejuta individu berusia lebih 65 tahun, menghadapi risiko paling tinggi akibat haba bandar,” menurut laporan itu yang dilancarkan pada hari ini.

    Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Thailand dan Myanmar Melinda Good berkata isu haba bandar bukan sekadar cabaran alam sekitar, tetapi juga masalah ekonomi dan sosial yang memerlukan tindakan segera.

    “Laporan ini menyediakan penyelesaian praktikal untuk pemimpin dan perniagaan Bangkok dalam membantu bandar raya ini menyesuaikan diri dengan kepanasan melampau, sambil melindungi penduduk paling terdedah dan pekerjaan dalam industri terdedah kepada haba, serta menjamin daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya. –Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda