Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Risiko tidur dengan wajah bermekap

    Oleh Khairul Abidin –

    Penat atau malas, itu dua alasan yang mungkin selalu digunakan oleh mana-mana perempuan yang selalu tertidur dengan mekap masih di muka. Dan sepanjang saya bekerja dan menemu bual ramai dermatologi (dalam dan luar negara), kesemuanya mengingatkan semua wanita jangan sesekali tidur dengan solekkan masih di wajah. Malah ramai selebriti yang saya temui juga menyatakan hal yang sama, sepenat mana pun mereka akan pastikan muka dicuci bersih sebelum tidur.

    Apa sebenarnya yang terjadi jika kita tidur dengan wajah masih bersolek? Percayalah tiada satu pun manfaat selain awda rasa tidur dengan cantik bagaikan Sleeping Beauty. Berikut dikongsi beberapa kesan tentangnya.

    KULIT KERING DAN CEPAT BERKEDUT

    Tidur dengan mekap boleh menjadi punca kulit kering. Ia juga menyebabkan kulit terdedah dengan radikal bebas yang akhirnya membuatkan kolagen kulit musnah dan akhirnya kedutan mula muncul pada kulit. Kulit biasanya memperbaharui sel-sel ketika kita tidur, tetapi andai kulit tidak dicuci bersih sukar untuknya menghasilkan sel baharu secara semula jadi.

    BAKTERIA TERPERANGKAP

    Bila bedak asas atau bedak kompak meliputi muka dari siang ke malam, banyak kotoran dan bakteria sudah terperangkap. Bakteria-bakteria yang terperangkap di dalam pori wajah akan menyebabkan masalah lain seperti jerawat dan lama-kelamaan menyebabkan kulit menjadi kusam.

    IRITASI MATA

    Partikel-partikel maskara boleh membuatkan folikel tersumbat dan akhirnya menyebabkan iritasi pada mata sekali gus menyebabkan radang mata. Awda akan lihat mata akan menjadi merah-merah dan garis halus sekitar mata juga lama-lama akan muncul.

    BULU MATA GUGUR

    Memakai maskara terlalu lama juga boleh menyebabkan bulu mata menjadi lemah dan mudah gugur. Bayangkan apa lagi yang boleh berlaku jika awda tidur dengan bulu mata palsu masih terlekat di mata?

    BIBIR KERING dan PECAH-PECAH

    Tidur dengan gincu masih bersalut pada bibir menyebabkan bibir kering dan pecah-pecah, tidak kiralah apa jenis gincu sekali pun, frosted, glos mahupun pusam. Ramai dermatologi menyarankan sapuan pelembap atau salap bibir sebelum tidur kerana suhu rendah pendingin hawa boleh menyebabkan bibir kering. – Agensi

    Disebabkan malas untuk meluangkan masa membersihkan mekap pada wajah awda sebenarnya memusnahkan masa depan kulit. – Envato
    Gambar Envato

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda