Oleh Nurdiyanah R.
Meniti beberapa bulan sebelum penghujung tahun 2022 telah menghiasi bumi Negara Brunei Darussalam dengan coretan kenangan penuh warna.
Segala lakaran peristiwa pada bulan September dan Oktober tersimpan rapi dengan adanya nilai-nilai pencapaian, inspirasi, motivasi mahu pun iktibar kepada masyarakat secara menyeluruh.
Sorotan peristiwa bulan September
Sebagai pembuka tirai pada bulan September, satu peristiwa manis telah dilakar di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja telah berkenan berangkat ke majlis pengumuman dan penyampaian hadiah bagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi.
Majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, itu telah menyaksikan Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah pertandingan tersebut.
Dua maut dalam kemalangan di Katok
Pada 1 September 2022, negara telah digemparkan dengan berita menyedihkan, di mana berlakunya tragedi dua orang lelaki tempatan maut dalam kemalangan di Lebuh raya Katok menuju ke Beribi akibat impak teruk daripada rempuhan dua buah kenderaan dan pengadang jalan raya.







Hasil siasatan awal daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati enam orang mangsa terlibat dalam kemalangan dan dua daripadanya meninggal dunia pada ketika itu.
Brunei pengeksport tomato ceri
Sekitar 18 September lalu, Brunei telah mencatat satu lagi pengeluaran dan eksport komersial baharu iaitu tomato ceri manis dan berjus yang dihasilkan oleh Superfish Growers Sdn Bhd.
Tomato tersebut dihasilkan melalui projek rintis Sistem Eco Nursery dalam penanaman kontena dan menggunakan teknologi penanaman sederhana di negara ini. Sistem penanaman hidroponik dalaman digunakan untuk menghasilkan benih tomato ceri yang tumbuh dalam persekitaran tertutup dengan sempurna menggunakan robotik kemudian dipindahkan ke rumah hijau apabila ia menjadi anak benih matang.
Berkenan ke majlis pengurniaan lencana terjun payung
Pada 23 September lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutup Kursus Asas Terjun Payung 1317 dan Pengurniaan Lencana Terjun Payung British Military Parachute Wings bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, yang berlangsung di Royal Air Force (RAF) Brize Norton, Oxford-shire, United Kingdom (UK).
Majlis kemuncak Sambutan Hari Guru ke-32
Pada 27 September lalu, Baginda Sultan telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-32, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Berangkat sama ialah paduka anakanda dan adinda Baginda.
Majlis kemuncak sambutan berkenaan juga dihadiri sekitar 6,500 orang pendidik dari seluruh negara.
BSM lancar stesen pengecasan pantas EV
Pada penghujung bulan September, tanah air turut diwarnai dengan pencapaian positif di mana sektor kenderaan elektrik (EV) negara mencatatkan mercu tanda bersejarah apabila Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) melancarkan stesen pengecasan pantas runcit pertama di Lambak.
Stesen pengecasan yang terletak di Stesen Minyak IBA, Lambak itu mengetengahkan sebuah unit pengecas Shell Recharge 172KWH yang lazimnya boleh mengecas sebuah EV daripada sifar hingga 80 peratus dalam tempoh bawah 30 minit.
Sorotan peristiwa bulan Oktober
Menjelang awal bulan Oktober, masyarakat di negara ini turut mewarnai suasana kehidupan kemasyarakatan dengan nilai-nilai positif menerusi mempertahankan warisan budaya dalam kemahiran mengelupis sepertimana yang diketengahkan oleh Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) dalam mengadakan bengkel mengelupis di Taman Tanjong Bukit Mambangan, Lamunin, Daerah Tutong, dengan disertai lebih 40 orang ahli.
Detik 30 tahun penubuhan Yayasan
Pada 5 Oktober lalu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-30 Tahun yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, di ibu negara.
Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan berjumlah $150,000 kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan Persatuan SMARTER Brunei.
Brunei, Bangladesh meterai tiga MoU penting
Pada 16 Oktober lalu, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh mengukuhkan lagi kerjasama dua hala apabila Baginda Sultan bersama Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina menyaksikan tiga penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) penting antara kedua-dua buah negara.
Penandatanganan itu berlangsung semasa Baginda berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan dan Mesyuarat Dua Hala bersama Puan Yang Terutama di Ibu Pejabat Perdana Menteri seterusnya mengadakan lawatan ke Muzium Peringatan Bangabandhu, di Dhaka, Bangladesh.
Riadah Berbasikal Keputeraan 2022
Pada 23 Oktober lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2022 yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja (bangunan lama Kastam dan Eksais Diraja), di ibu negara. Berangkat sama ialah paduka anakanda dan adinda Baginda.
Pada hari yang sama, Baginda Sultan turut berkenan berangkat merasmikan Pembukaan Semula Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. Penubuhan Hab Tenaga Brunei berpotensi menjadi sumber pengetahuan bagi industri minyak dan gas. Ia juga sebagai platform bagi kegiatan kesenian ke arah mendukung pembangunan industri kreatif di negara ini.
Biawak spesies purba ditemui
Pada bulan Oktober ini turut tersimpan sejarah satu penemuan yang tidak dijangka sekali gus menandakan pencapaian terbaharu dalam bidang sains dan penyelidikan biodiversiti dan alam sekitar negara apabila dua orang pembantu kajian lapangan Universiti Brunei Darussalam (UBD) menemukan fosil hidup semasa berada di Daerah Temburong.
Borneo Earless Monitor (Lanthanotus borneensis) adalah sejenis biawak endemik Borneo yang jarang ditemui, satu-satunya spesies yang diketahui dalam keluarga Lanthanoidae, spesies biawak purba.
Ini adalah kali pertama spesies biawak berkenaan ditemui di Negara Brunei Darussalam.
Haiwan unik itu ditemui oleh Justin Jeffrey dan Jerry Wong. Kedua-dua mereka terjumpa spesies biawak tersebut di hutan primer di Ulu Temburong yang sedang berpaut pada akar pokok berhampiran aliran sungai deras.

