Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
BANYAK sejarah dan kisah-kisah lama yang masih segar dalam ingatan penulis sewaktu zaman kanak-kanak menetap di Kampong Ayer. Kanak-kanak pada ketika itu gemar berenang bersama rakan-rakan mereka terutama ketika air pasang. Keadaan sungai di Kampong Ayer pada zaman itu juga kelihatan begitu bersih dan bebas dari pencemaran.
Kampung Sungai Kebun pada tahun 1959, keadaan air sungainya juga begitu menenangkan dan keindahan suasana kampung dikelilingi dengan rumah-rumah jenis ‘Rumah Beidong’ pada zaman itu. Melihat keadaan airnya itu membuatkan kanak-kanak tertarik untuk bermandi-manda selain menangkap pelbagai jenis ikan seperti ikan kembura, udang dan bubuk.
Penulis juga ingat apabila tiba waktu malam, penduduk kampung tersebut akan merasa takut dan gelisah apabila berjalan atau melintasi sebuah rumah yang berada di atas bukit, berdekatan dengan hujung jalan kampung itu. Rumah itu dipercayai berpuaka. Apabila melaluinya pada waktu malam, penduduk kampung akan mendengar bermacam-macam jenis bunyi yang tidak dikenali. Di bawah rumah tersebut, terdapatnya air telaga bagi penduduk-penduduk Kampung Sungai Kebun untuk mendapatkan air pada zaman itu.




Manakala ‘Jambatan Fail’ yang telah siap dibina pada awal tahun 1970, ianya telah memberi banyak kemudahan dan kesenangan buat penduduk Kampong Ayer pada ketika itu. Jambatan ini adalah sebagai tanda sempadan antara Kampung Sungai Kedayan dan Kampung Ujong Tanjung. Antara kampung-kampung yang dapat dilalui dengan menggunakan jambatan tersebut ialah Kampung Tamoi Ujong menuju tebing Kampung Bakut China dan Kampung Pengiran Pemancha Lama.
Kini, sejarah asal Kampung Sungai Kebun tidak lagi nampak di pandangan mata. Ia kini sudah berwajah baru. Menurut cerita orang-orang tua pada zaman dahulu, kampung ini adalah awal sejarah bagi penghasilan penanaman pokok pacar. Daun pacar dibeli oleh masyarakat Kampong Ayer pada ketika itu untuk majlis-majlis perkahwinan. Adat bepacar adalah antara adat dan budaya (digunakan untuk pengantin lelaki dan perempuan) bagi masyarakat yang tinggal di Kampong Ayer pada masa itu.