Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
TERKENANG kembali sejarah kehidupan penduduk di Kampong Ayer, khususnya kaum ibu-ibu mengandung, kerana pada zaman dahulu rumah sakit sangat sukar untuk dikunjungi. Banyak masalah dan cabaran perlu dihadapi.
Sehubungan dengan itu, dalam menangani masalah yang dihadapi, pihak kerajaan telah membina sebuah klinik di tengah-tengah perairan Sungai Brunei yang terletak di Kampung Lurong Dalam. Berkenan merasmikan pembukaannya ialah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien pada 21 Disember 1954.
Sejak itu, para penduduk dan ibu-ibu mengandung merasa mudah dan sudah tidak perlu lagi berkunjung ke Rumah Sakit Besar yang terletak di Kampung Sumbiling Lama.



Antara petugas yang berada di klinik berkenaan ialah seorang doktor khas dari England, seorang jururawat, seorang bidan, dua orang atendan perempuan serta tiga orang pemandu perahu untuk mengambil dan menghantar para ibu yang membawa anak damit mereka ke klinik tersebut, khususnya ibu-ibu mengandung.
Tiga orang pemandu khas kerajaan juga telah ditugaskan untuk mengambil dan menghantar para pesakit ke klinik itu. Penulis masih ingat antara mereka yang bertugas pada ketika itu iaitu Awang Yassin, Awang Maaon dan Awangku Ahmad. Seorang pemandu khas disediakan untuk membawa (pergi dan balik) doktor dan jururawat klinik berkenaan yang menunggu di kawasan Dermaga Kastam.