Hampir tiga dekad berada dalam industri, Rita Rudaini tidak sangka namanya masih lagi kekal relevan apabila berjaya membolosi Top 5 bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.
Rita, 48, berkata dia terasa dihargai apabila peminat sanggup bersusah payah mengundinya hingga berada sampai tahap ini.
“Tak sangka, saya masih relevan dan dihargai. Ucapan terima kasih saya tujukan buat ABPBH kerana mencalonkan nama saya dan semestinya buat kelab peminat RRFC.
“Bagi saya, dapat muncul sampai ke Top 5 sudah memadai dan bermakna buat saya.
“Saya tidak pernah memaksa kelab peminat untuk mengundi. Saya berpesan agar tak paksa diri, buat setakat termampu. Kalau ada rezeki, adalah,” katanya.
Ditanya bagaimana melihat pesaing dengan bakat baharu, Rita berkata, dia tidak kisah bersaing dengan pelakon baharu kerana apa yang penting bakatnya masih diperlukan, lapor BH Online.
“Dulu, saya pun pernah dicalonkan sebaris otai-otai. Ketika itu, saya pun masih baharu.
“Apa yang saya lalui dulu, kini dilalui pula artis baharu. Sebenarnya, saya tak kisah andai tidak dicalonkan sekali pun, asalkan bakat saya masih diperlukan dan diingati.
“Apapun, saya ucapkan tahniah untuk rakan artis yang berjaya ke Top 5,” katanya.
Selain Rita, turut membolosi senarai Top 5 bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular adalah Alya Iman, Amyza Aznan, Puteri Sarah Liyana dan Bella Hanna.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama. – Agensi