Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Riuh Raya 2023 bakal diadakan pada 11 hingga 20 April depan dengan mengetengahkan lebih 100 pengusaha tempatan dan luar negara.
Acara anjuran Starbugs Event Management dengan kerjasama Star Media itu akan berlangsung di Dewan Persidangan dan Dewan Perpaduan, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Sebagai persediaan bagi acara itu, sidang media dan taklimat bersama peserta Riuh Raya telah diadakan di ICC, hari ini, yang turut menyaksikan penandatangan perjanjian kerjasama dengan rakan-rakan kongsi. Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Starbugs, Sufri HP bersama kakitangan Starbugs yang lain.
Sepanjang acara itu, orang ramai bukan saja berpeluang mendapatkan barangan pada harga yang istimewa malah berpeluang untuk menjadi salah seorang pemenang hadiah utama dalam cabutan utama dengan membawa pulang hadiah wang tunai $1,000.
Untuk menyertai dalam cabutan itu, orang ramai yang berbelanja pada jumlah minimum akan berpeluang menyertai dalam cabutan IM LUCKY di kaunter Riuh Raya dan pengumuman pemenang akan dibuat pada hari terakhir acara tersebut.
Di samping itu, pengunjung yang datang pada hari pertama juga akan berpeluang mendapatkan baucar membeli-belah $5 yang akan diberikan kepada 100 pengunjung terawal yang mana baucar tersebut boleh digunakan di acara tersebut.
Manakala itu, sejumlah 400 baucar membeli-belah juga akan di berikan sepanjang 10 hari acara itu berlangsung.
Semasa acara itu, pengunjung akan berpeluang melihat kurta berjenama dari Bulan Bintang Msia, pelbagai jenama hijab, baju kanak-kanak, kasut dan banyak lagi selain dimeriahkan dengan promosi raya iaitu Malam Lelong yang pastinya amat dinanti-nantikan oleh pengunjung.
Riuh Raya 2023 juga akan dimeriahkan dengan dekorasi cucul raya yang memberi peluang kepada pengunjung untuk merakamkan gambar kenangan.