BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Suasana penuh ceria dan meriah menyelubungi kampus Institut KEMUDA apabila Majlis Perwakilan Pelajar menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan Riuh Raya, dengan sokongan padu daripada pelajar dan para pensyarah.
Majlis yang diadakan itu menyaksikan hidangan tradisional dan moden disediakan secara bergotong-royong oleh warga institut, melambangkan semangat perpaduan, kebersamaan dan muhibah sempena Syawal yang mulia.
Riuh Raya turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan istimewa yang bukan sahaja menceriakan suasana tetapi juga mengukuhkan hubungan antara pelajar dan tenaga pengajar, sejajar dengan nilai-nilai kekeluargaan dan silaturahim.
Sambutan tersebut sekali gus mencerminkan komitmen Institut KEMUDA dalam memupuk budaya hormat-menghormati dan perpaduan dalam kalangan pelajarnya menerusi penglibatan aktif dalam acara kemasyarakatan dan perayaan keagamaan.