ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
SIRI cerita yang berkisarkan mengenai kisah kehidupan remaja sering kali dikaitkan dengan unsur adiwira, rahsia, misteri, muzik, persahabatan dan sebagainya.
Salah sebuah kisah yang cukup popular menjadi bahan bacaan di kalangan remaja dari era 40an adalah siri komik Archie di mana ia mula diperkenalkan untuk menjadi satu pilihan hiburan di kalangan remaja pada tahun 1941,
Di sebalik unsur komedi yang menjadi elemen utama diterapkan di dalam siri komik tersebut secara dinamik juga sisi gelap turut diterapkan bagi mencipta suasana yang pelbagai sekaligus tidak membosankan para pembaca.
Berikutan daripada populariti siri komik tersebut, Archie juga telah dipilih untuk diadaptasi menjadi sebuah siri drama televisyen berjudul Riverdale yang mengisahkan mengenai sekumpulan pelajar yang menuntut di kolej yang sama.
Karakter-karakter popular seperti Archie Andrews, Jughead Jones, Veronica Lodge, Betty Cooper, Cheryl Blossom, Josie McCoy dan ramai lagi.

Sementara, para pelakon yang telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab dalam melakonkan watak-watak daripada siri komik popular ini pula rata-rata terdiri daripada golongan pelakon baru seperti K.J. Apa, Cole Sprouse, Camila Mendes, Lili Reinhart, Madelaine Petsch dan Ashleigh Murray.
Pada dasarnya, siri ini mengisahkan mengenai Archie Andrews, seorang remaja lelaki yang memiliki pakej lengkap iaitu wajah tampan, berbakat dalam bidang muzik dan memiliki kemahiran dalam bidang penulisan sehingga beliau menjadi rebutan di kalangan kebanyakan pelajar remaja perempuan lain di kolej Riverdale.
Antara teman-teman rapat kepada Archie adalah Veronica Lodge, seorang pelajar dari keluarga kaya yang memiliki rahsia sendiri dan memilih untuk berpindah ke Riverdale setelah ayahnya telah ditangkap, Beth Cooper, seorang gadis yang bijak dan cantik serta memendam rasa cinta terhadap Archie dan Josie Mc Coy, seorang pelajar berwajah cantik yang memiliki bakat dalam bidang nyanyian sehingga menubuhkan kumpulan muzik yang dikenali sebagai Josie and Pussycats.
Di sebalik ramai yang menyenangi kehadiran Archie di kolej itu, Jughead Jones pula sering menganggap pelajar lelaki popular itu sebagai saingannya dan dari situ seringkali timbul konflik di antara Archie dan Jughead.
Bagi peminat komik Archie setentunya ingin melihat sendiri sejauh mana kehebatan adaptasi drama ini boleh menandingi kehebatan siri komiknya.
Selain itu, bagi yang tidak pernah mengenali komik Archie ini pula boleh memilih untuk menonton versi drama ini bagi mengetahui kisah yang diterapkan dalam siri komik popular tersebut.