DETROIT, 22 JUN – Pembuat kenderaan elektrik, Rivian mengumumkan bahawa mereka akan menyertai rangkaian cas Tesla tahun depan, mengikuti langkah General Motors (GM) dan Ford.
Syarikat pembuatan trak, SUV dan van penghantaran berkata hari ini bahawa seperti GM dan Ford, ia juga akan menggunakan penyambung pengecasan Tesla, sebagai lagi langkah kepada penstandard industri.
Kenderaan Rivian yang sedia ada memerlukan pengubahsuaian untuk dipautkan kepada pengecas Tesla. Tetapi Rivian berkata kenderaan yang dikeluarkan pada 2025 dan seterusnya akan disediakan dengan port pengecasan Tesla sebagai piawai.
Ia merupakan satu lagi kejatuhan domino ketika industri automotif sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada penyambung Tesla, yang dipanggil sebagai Piawian Pengecasan Amerika Utara. Pada masa ini, hampir semua pengeluaran kenderaan selain Tesla menggunakan apa yang dipanggil penyambung CCS yang dibangunkan bersama Persatuan Jurutera Automotif.
Pengecas Super Tesla menjadi idaman pengeluar kenderaan lain kerana ia memiliki lebih banyak penyambung pengecasan pantas arus terus di Amerika Syarikat (AS) berbanding rangkaian lain, dan stesennya terletak di lokasi utama di sepanjang laluan perjalanan lebuh raya.
Pengeluar kenderaan lain juga se-dang mengkaji untuk membuat penukaran tersebut. Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares menyatakan bahawa pasukan Stellantis di AS sedang mengkaji perubahan tersebut dan akan membuat keputusan dalam beberapa minggu.
“Kami sedang menilai kemungkinan itu,” kata Tavares dalam temu bual ringkas dengan The Associated Press. “Ia boleh membawa kebaikan dan keburukan.”
Dia menyatakan bahawa perkara yang baik sedang dinilai dan perkara buruk termasuk pergantungan terhadap Tesla. – AP


