SEOUL, 26 JUN – Korea Selatan dan Arab Saudi menandatangani perjanjian kerjasama ekonomi AS$8.3 bilion hari ini ketika lawatan pertama Putera Mahkota Mohammed bin Salman ke Seoul, tatkala negara yang kaya dengan minyak itu memandang ke timur berikutan kritikan Barat berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Arab Saudi ialah pembekal minyak terbesar Seoul dan kebanyakan perjanjian merupakan AS$6 bilion di antara syarikat gergasi minyak Saudi Aramco dan firma Korea S-Oil untuk membina kilang penapis dan industri hiliran di Korea Selatan.
Kain rentang besar mengalu-alu putera mahkota tergantung di ibu pejabat S-Oil Seoul, kilang penapis ketiga terbesar Korea Selatan, yang majoriti dimiliki oleh Saudi Aramco.
Arab Saudi ialah “pasaran pembinaan terbesar Korea Selatan, pelabur terbesar dalam negara di antara negara-negara di Timur Tengah dan juga rakan perniagaan terbesar di rantau,” kata Presiden Moon Jae-in pada satu mesyuarat dengan Putera Mohammed.
Putera Mohammed, pemimpin de facto negara, melawat Pakistan, India dan China pada Februari, dan dijadual melawat Jepun pada hujung minggu ini untuk menghadiri sidang kemuncak G20 di Osaka.
Pakatan ekonomi itu juga membabitkan beberapa perjanjian lain di antara Saudi Aramco dan firma Korea, termasuk Korea National Oil Corporation, Hyundai Heavy Industries dan pengeluar kereta Hyundai Motor.
Putera Mahkota juga bertemu ketua konglomerat terbesar negara, termasuk waris Samsung Lee Jae-yong.
Putera Mohammed berhasrat mempelbagaikan ekonomi negaranya yang banyak bergantung pada minyak dan menjual sehingga lima peratus daripada Saudi Aramco, firma tenaga terbesar dunia.
Hasil daripada jualan, yang bertujuan mengumpul sehingga AS$100 bilion, akan membantu menubuhkan dana pelaburan kerajaan terbesar di dunia, dengan keuntungan boleh menyediakan satu alternatif kepada pendapatan minyak. – AFP
