Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Riyadh Air rancang tempah jet berbadan lebar

    RIYADH, 31 OKT – Syarikat penerbangan kebangsaan baharu Arab Saudi, Riyadh Air, merancang membuat tempahan pesawat berbadan lebar yang mampu membawa lebih 300 penumpang tahun depan, kata ketua pegawai kewangannya kepada AFP hari ini.

    Ia akan menjadi tempahan ketiga bagi syarikat penerbangan tersebut, yang ditubuhkan tahun lalu dan merancang untuk memulakan penerbangan pertamanya pada musim panas 2025.

    “Kami akan mengeluarkan RFP ketiga untuk pesawat ultra-lebar yang mempunyai lebih 300 tempat duduk, namun ia hanya akan berlaku tahun depan,” kata Adam Boukadida di Forum Pelaburan Masa Depan di Riyadh, merujuk kepada dokumen perolehan permintaan untuk cadangan tersebut.

    “Boleh jadi Boeing, boleh jadi Airbus. Pada masa ini, kami gembira dengan hubungan yang dijalin bersama kedua-dua pembekal utama ini.”

    Riyadh Air kelmarin mengumumkan perjanjian bernilai berbilion dolar untuk membeli 60 pesawat berbadan kecil Airbus A321neo daripada Airbus.

    Ia menjadikan jumlah tempahan pesawat firma itu kepada 132 selepas perjanjian yang dimeterai tahun lalu dengan Boeing untuk 39 pesawat berbadan lebar Dreamliner 787-9, yang mempunyai tempat duduk kurang daripada 300 penumpang, dengan pilihan untuk 33 jet lagi.

    Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman melihat sektor penerbangan sebagai komponen utama agenda reformasi ‘Visi 2030’ untuk memodenkan negara yang bergantung pada petroleum, dengan sasaran untuk lebih daripada tiga kali ganda trafik tahunan kepada 330 juta penumpang menjelang akhir dekad ini.

    Riyadh Air dijangka mengendalikan 100 laluan menjelang 2030 dan lebih daripada 120 menjelang 2035. Namun, laluan tersebut belum didedahkan. – AFP

    Adam Boukadida ketika ditemui di Riyadh di luar Forum Pelaburan Masa Depan, di Riyadh, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda