KUALA LUMPUR, 22 Okt – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sebanyak AS$102.8 bilion pada 15 Oktober 2018, selepas mengambil kira perubahan dalam penilaian, berbanding dengan AS$103.0 bilion yang direkodkan pada 28 September 2018.
Kedudukan rizab adalah cukup untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada simpanan mata wang asing sebanyak AS$97 bilion, Kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa sebanyak AS$900 juta, Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$1.1 bilion, emas sebanyak AS$1.5 bilion dan lain-lain aset rizab sebanyak AS$2.3 bilion.
Menurut BNM lagi, aset-aset itu merangkumi emas serta pertukaran asing dan lain-lain rizab seperti SDR yang mencecah RM426.07 bilion, kertas kerajaan Malaysia berjumlah RM3.39 bilion, pinjaman dan pendahuluan berjumlah RM7.04 bilion, tanah dan bangunan berjumlah RM4.18 bilion termasuk lain-lain aset RM7.54 bilion. – Bernama