Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$103.1 bilion setakat 15 Ogos

KUALA LUMPUR, 22 OGOS – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut kepada AS$103.1 biliion (AS$1=RM4.180) pada 15 Ogos, 2019 daripada AS$103.9 bilion dicatatkan pada 31 Julai, 2019.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata kedudukan rizab itu adalah memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$96.8 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.2 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR)(AS$1.1 bilion), emas (AS$1.8 bilion) dan lain-lain aset rizab (AS$ 2.2 bilion), katanya.

Bank pusat itu berkata aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain lain termasuk SDR berjumlah RM427.04 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.26 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.20 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM6.91 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM11.91 bilion). – Bernama