KUALA LUMPUR, 6 DIS – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal tidak berubah untuk tiga tempoh berturut-turut berjumlah AS$103.2 bilion pada 29 Nov dari 31 Okt.
Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$96.8 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.9 bilion), dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
Katanya aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM432 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM1.98 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset lain (RM10.22 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM144.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM110.46 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM158.52 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM10.93 bilion), deposit lain (RM2.05 bilion), Kertas Bank Negara (RM18.46 bilion), peruntukan SDR (RM7.68 bilion), dan liabiliti lain (RM2.2 bilion). – Bernama