KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$99.4 bilion (RM427 bilion) setakat 31 Julai, 2017 berbanding AS$99.1 billion (RM425.4 bilion) yang dicatatkan sehingga 14 Julai, 2017.
“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.9 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.
Komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$93 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.0 bilion).
Aset merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR (RM427.030 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM5.356 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.112 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.819 bilion), tanah dan bangunan (RM2.113 bilion) dan aset-aset lain (RM7.413 bilion). – Bernama