JAKARTA, 9 MEI – Bank Indonesia pada Khamis mengumumkan rizab mata wang asing negara itu susut sebanyak AS$4.6 bilion kepada AS$152.5 bilion pada akhir April, susulan campur tangan bank pusat untuk menstabilkan nilai rupiah di tengah peningkatan risiko pasaran kewangan global, lapor Xinhua.
“Penurunan rizab ini dipengaruhi oleh pembayaran hutang luar negeri kerajaan dan dasar penstabilan kadar pertukaran kami sebagai tindak balas terhadap peningkatan volatiliti pasaran kewangan global,” kata Ramdan Denny Prakoso, pengarah eksekutif jabatan komunikasi Bank Indonesia, dalam kenyataan akhbar.
Walaupun berlaku penyusutan, Prakoso menegaskan rizab semasa masih kukuh, mencukupi untuk menampung import selama 6.4 bulan, atau 6.2 bulan bagi keperluan import dan pembayaran hutang luar negeri – jauh melebihi standard kecukupan antarabangsa iaitu tiga bulan.
“Bank Indonesia menilai bahawa rizab pertukaran asing ini mampu menyokong ketahanan sektor luaran dan mengekalkan kestabilan makroekonomi serta sistem kewangan,” tambah beliau. – Bernama
