OMAN – Negara Kesultanan Teluk Oman sedang berusaha untuk menjana sendiri bidang baru dalam industri ekopelancongan negara itu dengan membuka sebuah kawasan rizab yang begitu luas untuk salah satu makhluk yang paling menggerunkan di kawasan padang pasir, Oriks Arab.
Setelah mengalami penurunan dalam bilangan haiwan tersebut di kawasan hidupan liar, haiwan tersebut sering menjadi mangsa kerakusan manusia yang mengambil tanduknya yang elegan dan dijual dengan harga yang tinggi.
Kawasan rizab untuk haiwan berkenaan telah dijaga oleh pihak berkuasa dan melarang orang awam untuk mengganggunya.
Namun baru-baru ini, pihak berkuasa negara itu buat kali pertama telah merasmikan pembukaan kawasan rizab itu untuk kunjungan orang ramai bagi menyaksikan sendiri dengan lebih dekat haiwan berkenaan.
Perasmian itu berikutan usaha negara tersebut untuk mempertingkatkan lagi industri pelancongan mereka dan sebagai tambahan ekonomi kedua Negara itu berikutan penurunan harga dan pendapatan minyak global yang mencabar.
Ekspedisi yang telah dijalankan baru-baru ini, para renjer telah menaiki kereta SUV dan berjalan di kawasan berpasir di wilayah Haima, Tengah Oman untuk mengesan lebih banyak haiwan berkenaan dan beberapa spesies asli yang lain.
“Selama bertahun-tahun, matlamat utama negara itu telah menjadi satu dasar asas di mana memastikan oriks akan dapat bertahan dan terus memberikan tumpuan untuk membantu haiwan ini untuk terus membiak dan berkembang,” kata jurucakap kawasan rizab, Hamed bin Mahmoud Al-Harsousi kepada wartawan media.
“Namun pada hari ini, bilangan itu semakin berkembang iaitu daripada 100 ekor beberapa dekad yang lalu kepada hampir 750 ekor pada hari ini, pihak berkuasa mula melihat peranan yang lain terhadap kawasan perlindungan itu. Terdapat lebih banyak minat dan dorongan untuk memajukan pelancongan sambil memanfaatkan keunikan akan haiwan yang memang jarang dilihat ini di seluruh dunia,” tambah Hamed lagi kepada media.
‘Unicorn’ tanah Arab
Pelbagai cerita dapat diadaptasikan mengenai haiwan ini malah kadang-kadang ia disebut sebagai ‘Unicorn’ tanah Arab disebabkan oleh profil tanduknya yang tersendiri mempamerkan satu kelangsungan hidup yang ajaib dan unik.
Haiwan ini sering menjadi mangsa pemburuan haram dan kali terakhir seekor oriks liar telah dibunuh oleh pemburu haram ialah pada tahun 1972.
Spesies ini hanya akan mampu bertahan lama jika ada sebarang program perlindungan dan rizab untuk terus memperbanyakkan lagi haiwan berkenaan.
Pada tahun 1980, beberapa ekor oriks telah dilepaskan di kawasan rizab, Oryx Arab Oman Sanctuary.
Sejak itu, proses pembiakan semula orix telah menjadi satu proses yang sering dijalankan malah kawasan tempat perlindungan terus berkembang luas lebih dari 2,824 kilometer persegi dari dataran rata, ke lereng berbatu dan juga kawasan bukit berpasir.
Pada tahun 2007, tempat perlindungan Oryx Oman Sanctuary itu merupakan tempat pertama yang telah dikeluarkan dari senarai tapak Warisan Dunia UNESCO berikutan tindakan pihak kerajaan Oman yang melakukan proses pencarian minyak di kawasan berkenaan.
Berjaga-jaga terhadap pemburu haram
Kini, setelah harga minyak mengalami turun naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hidupan liar terus menjadi satu keutamaan bagi pihak kerajaan.
Hamed telah meletakkan bilangan oriks Arab di kawasan rizab itu sudah mencecah sekitar 742 ekor dan Hamed turut mengatakan bahawa spesies lain juga berkembang di kawasan berkenaan.
“Dalam masa tiga tahun yang lalu, kami telah dapat meningkatkan beberapa ekor spesies seperti gazelle Arab yang mana turut dipanggil sebagai Gazell Pasir, dari 300 kepada sekitar 850 ekor,” tambah Hamed lagi kepada media.
Sebagai satu tambahan kepada haiwan berkenaan, terdapat sekitar 12 spesies pokok bagi menyediakan habitat beberapa ekor spesies burung.
Pihak kerajaan Oman telah meningkatkan reputasi ekopelancongan mereka dengan sesuatu yang baru selain daripada hanya memfokuskan kepada pusat peranginan kawasan pantai kepada industri pelancongan padang pasir yang lebih mencabar dan unik.
Salah seorang pegawai di negara itu berkata kepada AFP bahawa pelan pelancongan utama akan diumumkan dalam masa beberapa minggu ini.
Mereka yang bekerja di kawasan perlindungan oriks berharap agar dapat membantu memainkan peranan penting dalam memikat lagi banyak pengunjung ke negara berkenaan. Namun ada juga yang merasa khuatir akan situasi kawasan rizab berkenaan yang luas membuatkan pemburu haram sukar untuk dikesan.
“Dengan demikian, isu keselamatan dan kawalan ketat sedang giat dijalankan dan dianggarkan tiga puluh pengawal dan peronda polis sedang berusaha untuk menyediakan platform keselamatan di kawasan tersebut untuk mengelakkan sebarang penyusupan,” tambah Abdullah Ghassab Obaid mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP